RM438,000 diagih kepada nelayan Melaka Tengah

Iklan
Norhizam ketika menyampaikan insentif sebanyak RM750 kepada setiap nelayan ketika majlis penyampaian insentif kepada nelayan Daerah Melaka Tengah di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM438,000 insentif kepada 548 nelayan dari tujuh belas buah pengkalan yang terjejas akibat aktiviti penambakan laut di daerah ini.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata, insentif sebanyak RM750 setiap seorang itu diberikan bagi membantu nelayan meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka memandangkan ada di antara kawasan nelayan yang berhampiran dengan projek penambakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sumbangan itu menunjukkan kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan golongan tersebut, lebih-lebih lagi mereka merupakan penyumbang kepada sektor perikanan negeri dengan mencatatkan pendaratan ikan marin sebanyak 1,913.34 tan metrik pada tahun lalu.

"Jumlah sumbangan itu melibatkan insentif fasa pertama sebanyak RM750 seorang dan baki selebihnya akan diberikan mengikut fasa lain secara berperingkat.

Iklan

"Saya harap bantuan itu dapat dimanfaatkan golongan penerima yang ada di antara mereka mendapat hasil tangkapan yang berkurangan disebabkan projek penambakan yang berlaku dan sebagainya," katanya.

Norhizam berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian insentif kepada nelayan Daerah Melaka Tengah di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Iklan

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Hanafi Sakri dan Pengarah Perikanan Negeri, Johari Tim.

Dalam perkembangan lain, Norhizam yang juga ADUN Pengkalan Batu berkata, kerajaan negeri dalam usaha untuk membangun dan menambahkan ekonomi nelayan agar mereka mempunyai pendapatan tetap yang jauh lebih tinggi berbanding pendapatan semasa.

Menurutnya, langkah itu termasuk cadangan merealisasikan projek akuakultur seperti ternakan kupang dan ternakan ikan dalam sangkar mengikut kesesuaian tempat selain aktiviti agropelancongan yang dijangka bermula pada tahun ini.

Kata Norhizam, pihaknya juga akan lebih komited untuk memastikan pembangunan yang lebih terancang dan teratur serta tidak memberi kesan jangka masa panjang terutama kepada golongan nelayan.

"Kita tidak boleh menolak pembangunan namun saya sedaya upaya akan pastikan projek pembangunan termasuk tambakan laut tidak berterusan memberi kesan negatif kepada golongan itu," katanya.

Mohd Said

Sementara itu, penerima nelayan dari jeti Klebang Besar, Mohd Said Husian,55, berkata, wang tersebut akan dimanfaatkan bagi membeli pukat yang lebih berkualiti bagi mendapat hasil tangkapan yang banyak memandangkan dia bersama tekong terpaksa memunggut hasil tangkapan laut dengan jarak yang lebih jauh iaitu sejauh lima kilometer ke perairan laut disebabkan kawasanmya berhampiran aktiviti tambakan laut berbanding jarak sebelum ini.

"Sebelum projek tambakan, kami akan ke laut kira-kira satu kilometer sahaja untuk mendapatkan hasil tangkapan, dan sekarang terpaksa mengharung jarak yang lebih jauh untuk mendapatkan hasil.

"Sudah pasti saya akan memberi keutamaan wang ini untuk menukar pukat serta membeli peralatan menangkap ikan agar hasil yang diperolehi berbaloi dengan masa 4 hingga 5 jam di lautan," katanya.