SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Pendakwa Raya menarik balik surat permohonan hakim supaya mengutamakan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja mengesahkan kesahihan surat asal malah menimbulkan lebih banyak tanda tanya, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Shahril mempersoalkan kenapa surat asal itu dikeluarkan bagi pihak Peguam Negara untuk mempercepatkan kes Presiden UMNO terbabit.
"Jika sebelum ini pemimpin UMNO dituduh menggunakan taktik melengahkan kes mereka, adakah ini pula taktik pihak pendakwa untuk mempercepatkan kes?
"Kita boleh terima hujah mahkamah ada hak untuk menetapkan jadual prosiding dan sebagainya kerana mahkamah badan bebas.
"Tapi mengapa pendakwa pula yang boleh mempengaruhi jadual?" katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Selasa media melaporkan pendakwaan menarik balik surat yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi supaya memberikan keutamaan kepada kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbanding kes penyelewengan dana 1Malaysia Development berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Razak.
Pada prosiding perbicaraan kes itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah bahawa perkara itu kini sudah selesai dengan mengambil kita penarikan balik surat berkenaan.
Mengulas lanjut, Shahril berkata situasi yang berlaku ini memperkukuhkan lagi perjuangan UMNO dan BN sepanjang penggal ini iaitu perlunya ada pengasingan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Katanya, perkara itu sudah disuarakan oleh UMNO sejak beberapa tahun dahulu selain turut diminta oleh Majlis Peguam serta manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang tidak dilaksanakan.
"Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Peguam Negara yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.
"Kerana itu panggilan agar pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah wajar dan harus dilakukan.
"Maka seharusnya semua pihak tidak mempersoalkan motif UMNO meminta perkara sama," ujarnya.