Harimau Selatan makin kental

Iklan
Bergson meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya ketika menentang Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menganggap kekalahan di tangan Urawa Red Diamonds dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) banyak memberi pengajaran kepada skuad kendaliannya.

Malah, Bidoglio percaya Harimau Selatan kini seakan-akan mendapat semangat baharu selepas membenam Melaka United 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.

Iklan
Iklan

Namun, Bidoglio belum berpuas hati di sebalik kemenangan besar itu sambil mengakui masih ada kelemahan harus diperbaiki bagi memastikan momentum permainan tidak terjejas.

"Sudah tentu kekalahan di Jepun sangat memeritkan bagi semua. Situasi tersebut akan menjadikan kami lebih berkembang agar menjadi pasukan yang lebih baik.

Iklan

"Hari ini adalah satu kemenangan yang baik. Kami mengambil apa yang terjadi di Jepun sebagai penambahbaikan dan juga pengalaman buat kami sebagai sebuah kelab.

"Kami gembira dengan kemenangan ini. Kami gagal bermain seperti yang kami mahukan pada peringkat awal tetapi selepas gol pertama, ia berubah,” katanya.

Iklan

Dalam aksi tersebut, Bergson Da Silva merekodkan hatrik, manakala Fernando Forestieri menyumbang satu gol bagi menamatkan malam gemilang buat Harimau Selatan.

Dalam pada itu, Bidoglio menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa penjaga gol utama JDT, Farizal Marlias tidak diturunkan gara-gara kemerosotan prestasi.

"Sudah menjadi lumrah ada rombakan kecil bukan sahaja di posisi penjaga gol, malah semua posisi juga akan ada rombakan dan saya senaraikan Haziq (Nadzli) kerana dia juga perlukan minit permainan.

"Saya ambil keputusan menyenaraikan Haziq kerana ia peluang terbaik buat dia beraksi. Jika ada berlaku perkara tidak diingini kepada Farizal, maka Haziq yang ada minit permainan dan bersedia diturunkan,” jelasnya.