BERGELUT dengan prestasi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Bournemouth terpaksa memecat ketua jurulatihnya, Scott Parker beberapa hari selepas mereka dimalukan Liverpool 9-0.
Gary O'Neil telah diberi tanggungjawab sebagai pengendali sementara, manakala Shaun Cooper dan Tommy Elphick sebagai penolong jurulatih.
Mengumumkan perpisahan dengan Parker, pemilik kelab Maxim Demin dalam satu kenyataan memberitahu;
"Saya ingin merakamkan rasa terima kasih kepada Scott (Parker) dan pasukannya atas usaha mereka sepanjang bersama kami.
"Kenaikan pangkat kami kembali ke liga utama musim lalu di bawah kendaliannya akan sentiasa diingati sebagai salah satu musim paling berjaya dalam sejarah kami.
"Bagaimanapun untuk kami terus maju sebagai sebuah pasukan dan kelab secara keseluruhan, strategi kami perlu selari untuk menguruskan kelab secara mampan.
"Kami juga perlu menunjukkan kepercayaan dan menghormati antara satu sama lain. Ia pendekatan yang dibawa kelab ini untuk mencapai kejayaan."
Dia menambah;"Usaha kami untuk mencari ketua jurulatih baharu akan dilakukan serta-merta."
Parker sebelum ini beberapa kali menegur pengurusan Bournemouth atas kegagalan mereka untuk memantapkan skuad selepas kelab itu kembali bersaing dalam liga utama.
Antaranya termasuk selepas menentang Liverpool yang mana dia berkata bahawa skuad Cherries"tidak lengkap" berikutan kekalahan 4-0 kepada juara bertahan, Manchester City dan tunduk 3-0 kepada Arsenal.
"Saya dapat melihat beberapa lagi (kekalahan besar).
"Kami sudah berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kualiti dan terdapat sejuta sebab mengapa (mereka tidak melakukannya)," kata Parker semasa sidang media selepas perlawanan di Anfield.