PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) masih perlu melakukan lebih banyak kerja rumah sekiranya mahu skuad negara berdaya saing di Piala Thomas & Uber Chengdu, China dan Sukan Olimpik Paris pada 2024.
Malah, menurut bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim, kejayaan dilakar pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu dijadikan motivasi dalam kalangan pemain lain untuk meneruskan momentum positif bagi mempersiapkan cabaran pasukan negara.
"Ya, jika kita lihat banyak perkembangan positif dipamerkan pasukan badminton negara menerusi Ng Tze Yong, Aaron-Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah. Itu petanda sihat kepada arena badminton negara.
"Biarpun begitu, saya ingin ingatkan pemain negara agar tidak meletakkan diri mereka dalam zon selesa dengan pencapaian ketika ini.
"Sebaliknya, mereka perlu melipatgandakan latihan bagi memastikan prestasi sentiasa pada tahap terbaik menjelang dua temasya tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Arena badminton negara terus menarik perhatian komuniti sukan negara setelah Aaron-Wooi Yik melakar sejarah apabila menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk bergelar juara di Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun pada Ahad lalu.
Kejayaan itu menyaksikan tumpuan badan induk badminton kini untuk meraih keputusan lebih positif di Piala Thomas & Uber Chengdu, China dan Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada masa sama, Roslin percaya pasukan badminton negara boleh mempelajari sesuatu selepas disingkirkan India pada saingan Piala Thomas Bangkok 2022 baru-baru ini.
"Banyak perkara yang boleh dipelajari, sebagai contoh bagaimana India membentuk pasukan seimbang dan mantap bagi perseorangan serta beregu untuk mengharungi kejuaraan tersebut.
"Ya, kita mempunyai pemain mantap seperti Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aaron-Wooi Yik, namun sejujurnya kita sudah tidak boleh lagi meletakkan sasaran kepada pemain tertentu meraih mata.
"Seharusnya perseorangan ketiga dan beregu kedua termasuk juga para pemain simpanan yang boleh menghasilkan mata diturunkan dalam perlawanan,” katanya.
Roslin juga mencadangkan BAM memberi para pemain lebih banyak pendedahan bagi memastikan mereka lebih bersedia, tidak hanya berdaya saing malah mampu mencabar kejuaraan di Paris 2024.
Roslin turut menegaskan, BAM perlu melakukan pemilihan pemain-pemain ke temasya sukan terbesar dunia itu berdasarkan prestasi semasa, bukan sekadar kedudukan ranking.
"Masa terbaik untuk menilai prestasi semasa pemain adalah sebelum bermula saingan Piala Thomas 2024, jangan hanya berdasarkan kepada ranking semata-mata.
"Ini antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pemain senior negara dengan melakukan homework lebih kerap. Jangan terlalu selesa dengan pencapaian diraih sebelum ini, sebab pesaing sama ada pemain senior atau junior sentiasa berusaha untuk mengalahkan anda,” katanya.