TANGGAL 31 Ogos adalah detik sangat bermakna kepada rakyat Malaysia. Itulah detik bersejarah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Ramai yang telah berjuang dan berkorban mempertahankan maruah negara, malah ada sanggup bergadai nyawa demi tanah air tercinta.
Mereka adalah hero dan pahlawan sebenar yang sepatutnya diingati oleh rakyat Malaysia kerana tanpa pengorbanan mereka, mustahil negara akan aman makmur seperti dinikmati sekarang.
Pada pendapat penulis, sambutan Hari Kebangsaan bukanlah dengan mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata tetapi pada masa sama hargailah dan kenanglah jasa-jasa pejuang kemerdekaan ini.
Besarnya pengorbanan yang mereka lakukan kerana dengan perjuangan itulah, perpaduan antara kaum, bangsa serta agama dapat ‘bersatu’di bawah satu negara.
Malangnya, sikap segelintir rakyat Malaysia yang seolah-olah sengaja mencetuskan provokasi dan kontroversi dilihat mengeruhkan kedamaian serta keharmonian kepelbagaian bangsa di negara ini sehingga mengundang kemarahan rakyat jelata.
Misalnya, tindakan seorang wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi. Kemudian, diikuti dengan seorang lelaki yang menghina agama Islam dan bangsa Melayu menerusi video tular di media sosial berdurasi 36 saat.
Trend menghina agama, bangsa dan negara dilihat sering berlaku meskipun pihak penguat kuasa mengeluarkan amaran tegas terhadap perkara tersebut.
Persoalannya, adakah nilai patriotisme dan rasa cinta terhadap tanah air sudah semakin hilang dalam hati rakyat Malaysia?
Adakah begitu murah maruah sebuah negara sehingga begitu mudah untuk segelintir individu bertindak melakukan sesuatu yang menggugat keharmonian dinikmati ketika ini?
Lebih menyedihkan, ada segelintir individu yang sengaja berbuat demikian semata-mata untuk meraih like dan jumlah tontonan tinggi di media sosial. Agaknya mungkin mereka bangga meraih populariti dengan cara sedemikian.
Sepatutnya, ‘roh’ merdeka dan cintakan negara perlu disemat dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia.
Dalam hal ini, media dilihat boleh memainkan peranan tersebut bagi memastikan nilai-nilai murni itu diangkat kembali dan disuburkan.
Lihat sahaja filem-filem tempatan seperti Leftenan Adnan, Bukit Kepong, Sarjan Hassan, Hang Tuah, 1957 - Hati Malaya, Tanda Putera, Darah Satria, Puteri Gunung Ledang, Hikayat Merong Mahawangsa dan banyak lagi.
Filem-filem berkenaan membawa tema-tema tertentu sama ada tema sejarah atau mitos legenda. Apa yang pasti, genre filem epik seperti inilah yang dapat membangkitkan kembali semangat patriotisme rakyat Malaysia.
Malah, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, arahan Syamsul Yusof turut mendapat maklum balas positif dalam kalangan penonton tempatan sehingga jualan tiket mencecah RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.
Sehingga kini, filem tersebut menjadi bualan hangat masyarakat. Itu bermakna, filem-filem yang mengangkat tokoh pahlawan dan sejarah negara dapat memberi impak mendalam terhadap perspektif masyarakat serta negara.
Selain itu, usaha kerajaan juga memainkan peranan penting untuk keharmonian dalam negara.
Sudah tiba masa untuk kerajaan memperketat lagi penguatkuasaan dan hukuman terhadap mereka yang cuba melakukan serangan provokasi melampau sehingga mengancam perpaduan negara.
Kesedaran mengenai hak kebebasan bersuara juga perlu diperjelaskan dengan teliti oleh pihak kerajaan supaya rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan hak tersebut sebagai lesen untuk melakukan provokasi perkauman.
Dengan kata lain, kebebasan bersuara tidak boleh disalah guna sehingga menimbulkan pergaduhan antara kaum. Jadikanlah peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 sebagai teladan dan iktibar.
Selamat menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-65.
* Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian