MOSCOW - Mikhail Gorbachev, pemimpin terakhir Kesatuan Soviet yang memainkan peranan besar dalam menamatkan Perang Dingin meninggal dunia di Moscow, pada Selasa pada usia 91 tahun.
Beliau meninggal dunia di Hospital Pusat Klinikal di Moscow dan tiada butiran lanjut berhubung keadaan kesihatan ahli politik itu sebelum kematiannya.
Pada awal musim panas ini, terdapat khabar angin tentang kemerosotan mendadak kesihatan bekas pemimpin Soviet itu.
Bagaimanapun, ia telah dinafikan oleh Yayasan Gorbachev.
Tempoh kepimpinannya ditandai dengan beberapa peristiwa terpenting dalam pengertian geopolitik iaitu berakhirnya Perang Dingin, pengunduran tentera Kesatuan Soviet dari Afghanistan dan keruntuhan negara itu sendiri.
Ada yang melihatnya sebagai seorang idealis tetapi juga terdapat tanggapan bahawa beliau ialah seorang reformis dan pengkhianat atau menjadi ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) milik Amerika Syarikat (AS).
Dalam wawancaranya sebelum ini, Gorbachev berkata, beliau bertanggungjawab terhadap semua kejadian yang berlaku kepada Kesatuan Soviet semasa pemerintahannya.
Beliau pernah menyatakan bahawa perjuangannya adalah untuk memelihara Kesatuan Soviet sehingga ke peluru yang terakhir tetapi sentiasa menyebut tentang prinsip tiada pertumpahan darah akan berlaku di dalam kesatuan tersebut.
Gorbachev mengumumkan peletakan jawatannya daripada tugasnya sebagai Presiden Kesatuan Soviet yang mengamalkan pemerintahan komunis pada 24 Disember 1991.
Sejarah Kesatuan Soviet berakhir dengan berkesan pada 25 Disember 1991 berikutan Perjanjian Belovezhskaya mengenai pembubarannya ditandatangani oleh pemimpin Rusia, Ukraine dan Belarus,. - Agensi