Gelagat Keluarga Malaysia sambut Hari Kebangsaan

Iklan
Suasana sekitar Dataran Merdeka ketika berlangsungnya sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR -"Merdeka! Merdeka! Merdeka!" laungan anak-anak kecil antara ribuan latar suara Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka yang teruja dan bersemangat menyambut Hari Kebangsaan 2022 di sini, pagi Rabu.

Aura keterujaan serta semangat setiap ahli Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum, jelas terserlah apabila tiada ruang kosong di sepanjang lebih satu kilometer laluan perarakan dari Bangunan Sultan Abdul Samad ke pusat beli-belah Sogo, kerana dipenuhi orang ramai yang mahu menyaksikan perarakan dan pertunjukan yang dipersembahkan hari ini.

Iklan
Iklan

Suasana hening pagi di Dataran Merdeka sudah meriah seawal jam 4.30 lagi apabila rata-rata pengunjung mula membanjiri kawasan ini untuk bersama-sama menyaksikan acara penuh gilang-gemilang yang bermula tepat jam 7.30 pagi dengan ketibaan pemimpin negara.

Majoriti pengunjung juga memilih menggunakan perkhidmatan LRT malah sehingga jam 7.30 pagi tadi, kedua-dua stesen LRT Bandaraya dan Masjid Jamek di sini, masih lagi sesak dengan penumpang yang tiba.

Iklan

Nyata hari ini amat istimewa bagi Keluarga Malaysia, ada yang hadir dengan pakaian sedondon mengikut warna Jalur Gemilang, tidak kurang juga mereka yang mengenakan pakaian tradisional malah lebih mencuri perhatian apabila majoriti pengunjung turut membawa Jalur Gemilang masing-masing untuk dikibarkan pada hari penuh sejarah.

Orang ramai mula memenuhi Dataran Merdeka seawal jam 6 pagi tadi bagi menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022. - Foto Bernama

Cuaca yang baik, agak redup dan berangin sejak awal pagi juga turut menjadikan suasana sambutan lancar dan memberi keselesaan kepada pengunjung yang hadir.

Jalan-jalan utama menghala ke Dataran Merdeka juga mulai sesak sejak awal pagi, namun dikawal oleh anggota keselamatan yang bertugas.

Iklan

Selepas dua tahun tiada sambutan Hari Kebangsaan secara besar-besaran, rata-rata mereka meluahkan rasa rindu dengan suasana kemeriahan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Bagi, Suhaimi Razak, 45, beliau membawa keluarga termasuk dua anaknya yang masing-masing berusia lima dan empat tahun untuk merasai kemeriahan Hari Kebangsaan, di samping mengimbau nostalgia beliau ketika kecil bersama keluarga menyambut sambutan sama 30 tahun lepas.

Bagi pelajar Tingkatan Lima, Andrew Tan bersama rakan-rakan sekelasnya mengambil kesempatan hari cuti untuk memeriahkan suasana sambutan Hari Kebangsaan. - Bernama