KUALA LUMPUR - Di sebalik peserta acara perbarisan sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada Rabu yang berbaju celoreng dan pelbagai seragam pasukan keselamatan, ‘terselit’ kontinjen jurumasak berbaju putih, berseluar hitam lengkap topi tinggi atau toque yang turut berkawad bersama barisan wira negara.
Julung kali dilihat menyertai acara sedemikian, ia mungkin mencetuskan tanda tanya segelintir penonton di Dataran Merdeka mengapa kontinjen wira tidak didendang melibatkan lebih 40 cef atau jurumasak daripada Persatuan Jurumasak Malaysia itu turut melakukan lintas hormat.
Hakikatnya, ketangkasan mereka 'bersilat' di dapur dengan 'bersenjatakan' sudip dan senduk adalah antara kumpulan yang memainkan peranan penting sebagai penyedia makanan sedia di hospital ketika kapasiti wad hospital dipenuhi pesakit Covid-19 semasa wabak tersebut mula 'menyerang' negara pada awal 2020.
Semasa lalu di hadapan Pentas Diraja, kontinjen cef turut menarik perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berdiri, ceria sambil melambaikan tangan kepada kontinjen ini.
Mengimbas semula detik hitam tersebut presiden persatuan itu Khairuddin Kamarudin berkata, pihaknya tanpa teragak-agak bersetuju membantu menyediakan makanan di beberapa hospital yang ketika itu memerlukan perkhidmatan mereka susulan sebahagian besar penyedia makanan sedia ada tidak dapat bertugas akibat dijangkiti wabak.
"Ramai yang khuatir dan bertanya 'tak takut ke dijangkiti Covid-19? ', tapi kami bertawakal dan ambil ia sebagai cabaran dan tanggungjawab membantu dan menyumbang kepada masyarakat.
Khairuddin berkata, memastikan makanan bernutrisi dan disediakan mengikut keperluan diet pesakit yang berbeza antara cabaran dalam menyediakan makanan dalam tempoh itu.
"Kami sentiasa berwaspada dan teliti dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi elak terkena jangkitan Covid-19 kerana bimbang operasi memasak melibatkan pasukannya akan terjejas," katanya.
Teruja dan berbangga dapat menyertai acara pada hari bersejarah negara itu sebagai sepasukan jurumasak, Khairuddin menyifatkan peluang itu ibarat bulan jatuh ke riba.
"Alhamdulillah, sebenarnya sudah lima tahun kami memohon peluang ini, akhirnya tahun ini diberi rezeki, tentunya ia penghargaan yang amat bermakna buat kerjaya kami," katanya.
Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab menghantar makanan kepada pesakit juga perlu menjalani pelbagai proses rumit seperti disanitasi sebaik mungkin sebelum masuk ke dapur.Bercerita lanjut, beliau yang bepengalaman 28 tahun dalam industri itu berkata kerjaya tersebut juga menuntut pelbagai pengorbanan termasuklah masa bekerja mencecah 18 jam sehari selain terpaksa melupakan masa bersama keluarga demi memastikan penyediaan makanan terbaik.
"Jadi jangan sesekali pandang remeh dengan pekerjaan cef kerana bukan semua mampu melakukannya kerana memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang amat tinggi,” katanya.
Khairuddin berkata pihaknya juga sering turun padang membantu menyediakan makanan untuk mangsa bencana alam termasuk banjir dalam negara serta gempa bumi di Palu, Indonesia.
Beliau berkata jurumasak Malaysia juga banyak mengharumkan nama negara dengan memenangi pertandingan memasak di peringkat antarabangsa antaranya WorldSkillsAbu Dhabi dan Luxumberg Culinary World Cup dan Asean Skill Competition di Bangkok, yang sekali gus memperkenalkan produk makanan tradisional negara di mata dunia. - Bernama