KOTA BHARU - Ayang Cafe Kota Bharu mengagihkan kira-kira 200 pek sarapan pagi dan bendera kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65.
Pemilik restoran, Norhazelizan Mamat, 44, berkata, tujuan utama mereka ialah berkongsi rezeki sebagai memperingati tarikh hari kemerdekaan negara.
Beliau berkata, program dengan kerjasama Proton Edar Kota Bharu itu turut melibatkan penghantar makanan GrabFood.
"Kami teruja untuk menyambut hari kemerdekaan kerana sudah dua tahun negara tidak meraikan kenangan bersejarah ini akibat Covid-19.
"Hari ini, kami mengedarkan secara pandu lalu pek yang mengandungi menu sarapan pagi popular di Ayang Cafe iaitu roti ayang dan nasi kapit sambal selain air mineral dan bendera Malaysia," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Sambutan Kemerdekaan ke-65 di restoran itu pada Rabu.
Selain itu, kata Norhazelizan, mereka turut berkongsi kegembiraan bersama 50 anak yatim di sekitar Kota Bharu dengan memberi sumbangan pek sama.
Beliau turut menyarankan generasi baharu supaya terus berbakti dan menjaga negara walaupun dalam keadaan ekonomi dan politik yang tidak stabil.
"Selepas Covid-19, peniaga menghadapi masalah, rakyat berhadapan kenaikan harga barang tetapi kita perlu berjuang untuk meneruskan kehidupan," katanya.