Masjid pertama guna jam matahari tentu waktu solat

Iklan
Jam matahari Rukhamah yang digunakan untuk menentukan waktu solat, jam dan arah kiblat oleh Masjid Abdul Rahman Auf, di sini.

IPOH - Masjid Abdul Rahman Auf, Taman Rapat Koperasi, di sini mencipta sejarah apabila menjadi masjid pertama di Malaysia memperkenalkan jam matahari Rukhamah bagi menentukan waktu solat, jam dan arah.

Yang Dipertua Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak, Mahruzaman Misran berkata, penggunaan Rukhamah tersebut membolehkan pihak masjid mendapatkan bacaan waktu yang tepat selain tidak terlalu bergantung kepada jam analog.

Iklan
Iklan

Menurutnya, model jam matahari tersebut dibangunkan oleh Persatuan Falak Syar'i Malaysia bersama-sama Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang turut mendapat pujian di peringkat antarabangsa.

"Jadi Persatuan Ilmu Falak Islam Perak terpanggil untuk menyumbang sedikit untuk memperkenalkan jam matahari di Masjid Abdul Rahman Auf sebagai projek perintis untuk menjadi rujukan semua masjid dan surau negeri Perak. Saya rasa amat baik jika Rukhamah ini ada di masjid-masjid.

Iklan

"Untuk makluman, ini adalah yang pertama dalam negeri Perak dan yang pertama di masjid dalam Malaysia yang ada jam matahari ini. Sistem jam ini lebih terperinci dan tepat dengan mempunyai pelbagai fungsi tetapi yang utama adalah menentukan arah, jam dan kiblat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Jam Matahari di Masjid Abdul Rahman Auf, Taman Rapat Koperasi, di sini pada Rabu.

Iklan
Mahruzaman menyempurnakan Pelancaran Jam Matahari di Masjid Abdul Rahman Auf, Taman Rapat Koperasi, di sini pada Rabu.

Hadir sama pada pelancaran tersebut, Pengerusi Masjid Abdul Rahman Auf, Dr Khairuddin Abdul Malek.

Mahruzaman yang juga Ahli Jawatankuasa Falak Perak berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan masjid dan surau di negeri ini memasang jam matahari tersebut jika berkemampuan.

"Mana-mana pihak yang berminat boleh berhubung dengan Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak atau mendapatkan maklumat melalui pihak Masjid Abdul Rahman Auf serta Jabatan Mufti Negeri Perak," ujar beliau.

Sementara itu, Dr Khairuddin berkata, pihaknya sedia bekerjasama dan berkongsi pengetahuan tentang penggunaan jam matahari tersebut kepada mana-mana masjid atau surau yang berminat.

Menurutnya, menjadi kebanggaan pihak masjid apabila menjadi yang pertama dalam kalangan masjid di negara dan negeri ini menggunakan jam matahari berkenaan.

Rukhamah merupakan salah satu jenis jam matahari yang digabungkan dengan tongkat Istiwa (bayang tiang) bagi mendapatkan waktu dan arah.