Teruja kembali di Dataran Merdeka selepas dua tahun

Iklan
Orang ramai teruja meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian/ ROSLI TALIB (Gambar kecil: (Dari kiri; Nurul Farhanah; Rose; Noor Farhana dan Mohd Noor)

KUALA LUMPUR - Orang ramai kembali membanjiri Dataran Merdeka di sini bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 setelah dua tahun tidak dapat dianjurkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Sinar Harian mendapati, stesen Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Dataran Merdeka mula dipenuhi orang ramai seawal jam 6 pagi selain ribuan pejalan kaki menggunakan jalan raya menuju ke arah Dataran Merdeka dengan laungan kemerdekaan serta lagu-lagu patriotik sambil mengibarkan bendera.

Iklan
Iklan

Rata-rata pengunjung mengakui teruja untuk menyaksikan sendiri sambutan hari kemerdekaan secara besar-besaran setelah lima tahun sambutan itu tidak diadakan di Dataran Merdeka.

Bagi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Farhanah Mohd Sobirin, 22, berkata, dia menaiki LRT dari Cheras seawal jam 5 pagi bersama ahli keluarganya kerana bersemangat untuk menyaksikan kemeriahan sambutan kemerdekaan.

Iklan

"Saya bersama adik beradik dan sepupu menaiki pengangkutan awam sebab kita tahu memang jalan ke Dataran Merdeka ini akan sesak dengan orang ramai dari setiap pelusuk negeri.

"Sejujurnya saya teruja nak datang sini meraikan kemerdekaan sebab tahun-tahun sebelum ini, kita hanya duduk di rumah dan sambutan pun diadakan secara sederhana.

Iklan

"Jadi kali ini saya memang teruja dan sanggup bangun seawal jam 4 pagi semata-mata nak sama-sama memeriahkan sambutan Kemerdekaan di sini," katanya kepada Sinar Harian di Dataran Merdeka di sini, pada Rabu.

Bagi pekerja swasta, Rose Rahim, 33, pula berkata, setiap tahun dia tidak melepaskan peluang untuk meraikan sambutan kemerdekaan namun pada tahun ini kehadiran pengunjung begitu luar biasa.

"Saya menaiki Transit Aliran Massa (MRT) dari Kajang jam 4.30 pagi tetapi masih tiada rezeki untuk duduk di barisan tempat duduk hadapan. Saya tidak pernah lihat orang seramai ini tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Sememangnya orang ramai memang lepas geram sebab selama dua tahun ini hanya duduk di rumah dan mereka pula rindu nak sambut Merdeka dengan penuh kemeriahan dan secara besar-besaran," ujarnya.

Guru, Noor Farhana Kamaruddin, 37, teruja membawa anak-anaknya untuk merasai kemeriahan Hari Kebangsaan.

"Saya dan suami bersama anak-anak hadir ke sini untuk menyaksikan perarakan serta pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta aset-aset ketenteraan lain.

"Memang seronok anak-anak pun rasa teruja melihat pertunjukan pada hari ini. Selain itu, saya juga menerapkan kepada semua anak-anak untuk cintakan tanah air dan menghargai perjuangan pemimpin terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan," jelasnya.

Penolong Jurutera, Mohd Noor Rahman, 30, memberitahu, dia memanfaafkan cuti umum hari ini untuk melihat keunikan perbarisan pada tahun ini yang menampilkan pelbagai pertunjukan serta perarakan aset keselamatan dan pertahanan negara.

Acara pada Rabu bermula dengan ketibaan pembesar negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin kira-kira jam 7.45 pagi.

Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta kuda diraja sekitar jam 8 pagi.

Sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini melibatkan seramai lebih 20,000 peserta, 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan, 369 aset darat dan 68 aset udara daripada pelbagai pihak dengan anggaran kehadiran pengunjung di Dataran Merdeka seramai 50,000 orang.