Nurul Natasyafiena Sapari, 24, selamat melahirkan bayi perempuan di Pusat Ibu dan Bayi Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn di sini pada jam 6.35 pagi, Rabu.
Dia dan suami, Zainul Muttaqim Muhd Lutffi, 24, teruja dan gembira kerana bayi mereka seberat seberat 3.25 kilogram (kg) dilahirkan pada tarikh bersejarah negara.
"Saya dan suami tidak pernah terfikir mahukan anak kami dilahirkan pada apa-apa tarikh istimewa negara, kerana jika diikutkan tarikh jangkaan adalah pada 10 September ini.
"Ini tidak pernah dirancang. Namun apapun kami tetap bersyukur dan gembira kerana anak kami 'memilih' untuk dilahirkan pada tarikh kemerdekaan Malaysia iaitu pada 31 Ogos.
"Rasa seronok juga kerana tarikh itu senang untuk diingat," kata suri rumah itu ketika ditemui di Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn pada Rabu.
Zainul Muttaqim berharap anak sulungnya itu akan membesar dengan sihat dan tinggi semangat patriotiknya sesuai dengan tarikh kelahirannya dan bercadang menamakan bayinya daripada sejenis bunga.
"Saya bersyukur anak dilahirkan sihat dan selamat. Saya akan membesarkannya dalam suasana patriotik dan cintakan kepada negara.
"Pengalaman pertama kali bergelar bapa adalah perkara yang amat menakjubkan, melihat bayi ini dilahirkan semua rasa gelisah dan bimbang hilang, Subhanallah," katanya.
Seorang lagi bapa kepada bayi merdeka, Ee Chin Siang, 34, berkata, anak lelaki keduanya itu dilahirkan pada jam 9.35 pagi Rabu dengan berat 3.43 kg.
Menurut Chin Siang, doktor memberitahu anaknya diramal lahir pada 27 Ogos lalu, namun sehingga tarikh tersebut, isterinya, Kan Cun Xi, 33, masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin.
"Tetapi pada 29 Ogos, isteri mula memberitahu ada rasa seperti hendak bersalin dan kami terus ke hospital. Bagaimanapun bayi masih tidak mahu keluar, mungkin untuk menantikan tarikh bersejarah hari ini (31 Ogos).
"Walaupun tidak merancang untuk apa-apa tarikh, saya tetap rasa gembira kerana bayi lelaki ini lahir dalam keadaan sihat dan juga pada tarikh negara ini mencapai kemerdekaannya," katanya.
Dia yang merupakan seorang pelajar di universiti luar negara berharap anaknya akan membesar menjadi individu yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat sekeliling dan juga kepada negara.
"Saya juga telah memilih nama yang bersesuaian untuknya iaitu Wyatt Ee, yang membawa maksud keberanian dalam peperangan," katanya yang menetap di Taman Suria di sini.
Sementara itu, Pusat Ibu dan Bayi Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn yang baharu beroperasi selama setahun itu pertama kali menyambut kelahiran bayi merdeka iaitu seramai tiga orang pada tahun ini.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan hospital tersebut, Dr Nor Idayu Kamaruddin memberitahu, semua kelahiran tersebut adalah secara normal dan bukan secara pembedahan.