Penjenamaan semula politik, pikat pengundi muda

Iklan
Dr Mohammed Taufiq (dua dari kiri) bersama peserta konvoi sebelum acara pelepasan oleh Ming Kai (tiga dari kiri) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Alor Setar, Tajar pada Rabu.

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah sedang melakukan proses penjenamaan semula politik untuk menarik sokongan pengundi muda khususnya pengundi 18 tahun yang didaftarkan secara automatik.

Ketua AMK Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, usaha itu dilakukan susulan minat anak muda terhadap politik kini semakin pudar disebabkan oleh landskap politik yang agak mengecewakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pertambahan pengundi muda itu perlu ditangani sebaiknya bagi mengelak mereka terus menjauhkan diri daripada dunia politik.

"Ini merupakan antara cabaran yang perlu diberikan perhatian. Penjenamaan semula ini penting supaya dunia politik tidak dianggap sesuatu yang ‘kotor’ oleh golongan muda.

Iklan

"AMK Kedah akan mendekati anak muda secara rutin tanpa terlalu banyak berbincang mengenai permasalahan politik, sebaliknya lebih banyak mendengar dan menawarkan solusi untuk masa depan mereka,” katanya pada program Konvoi Jelajah Merdeka AMK Kedah yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Alor Setar, Tajar pada Rabu.

Dr Mohammed Taufiq berkata, majlis pimpinan baharu AMK Kedah sesi 2022-2025 akan menyelusuri setiap 15 cabang untuk mendekati golongan muda yang dibahagikan kepada kelompok-kelompok kecil secara rutin.

Iklan

"Dari segi pengisian, kita akan utamakan program yang menjurus kepada minat anak muda seperti sukan, e-sport, gotong-royong serta kerja sukarelawan kebajikan yang bersifat rentas parti politik.

"Tiga teras utama perjuangan AMK Kedah adalah isu pendidikan dan pekerjaan, kos sara hidup dan perumahan,” katanya.

Menurutnya, walaupun majlis pimpinan AMK baru sahaja dilantik, namun ia bukan penghalang untuk sayap parti PKR itu berdepan saingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

"Jika ditanya bersiap sediakah AMK Kedah sebagai sayap parti untuk berdepan PRU15, kami berada pada tahap yang terbaik ketika ini. Kami siap sedia dengan sebarang kemungkinan menerusi usaha yang jitu,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq berkata, sempena sambutan kemerdekaan ke-65, AMK Kedah meraikan golongan asnaf yang dikunjungi di setiap hentian konvoi meliputi 15 daerah, bermula dari Alor Setar dalam tempoh sehari.

"Kita akan edarkan 150 bakul makanan untuk penerima di setiap cabang yang menjadi hentian konvoi. Acara ini bukan sahaja untuk menjenamakan semula AMK, ia termasuk membangkitkan semangat patriotik serta berbakti kepada masyarakat setempat merentasi parti mahupun bangsa,” katanya lagi.

Menurutnya, konvoi yang disertai 20 kenderaan akan singgah di setiap cabang bermula di Alor Setar, Kuala Kedah, Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Jerai, Sik sehingga hentian terakhir di Sungai Petani.

"Ini merupakan program pertama AMK selepas lantikan pada minggu lepas, kita menetapkan 100 hari selepas pelantikan untuk nilai prestasi seterusnya membuat penambahbaikan dalam pengurusan,” ujarnya.