Pelancong kagum sambutan Hari Kebangsaan

Iklan
Kontinjen MDEC bersama Maskot animasi Didi&Friends, BoboiBoy dan Ejen Ali ketika acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Rabu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang meriah membuatkan warga asing kagum terutama melihat kepada semangat patriotik rakyat Malaysia menyambutnya setelah dua tahun tidak meraikannya secara besar-besaran berikutan Covid-19.

Warga Turkiye, Zeynep Rana Ustuner, 22, ditemani adik kembarnya Busra Ikbal yang sedang menjelajah Malaysia, menzahirkan rasa kagum mereka terhadap sambutan penuh warna-warni hari ini dan meriah berdasarkan jumlah pengunjung yang luar biasa.

"Hari ini hari yang sangat baik, sangat menyeronokkan, pengunjung sangat ramai dan saya rasa ini kerana kamu (rakyat Malaysia) tidak menyambut hari ini selama hampir dua tahun, jadi kali ini orang ramai boleh berkumpul dan meraikannya," katanya kepada Bernama.

Kontinjen MDEC bersama Maskot animasi Didi&Friends, BoboiBoy dan Ejen Ali ketika acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Rabu. - Foto Bernama
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Corinna Remberg, 30, pelawat dari Jerman yang pernah menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan sebelum ini memutuskan untuk sekali lagi menyertai orang ramai dan mengimbau kembali kenangan pada 2015 ketika menetap di ibu negara dalam tempoh yang singkat.

Beliau yang datang bersama suami tidak menyangka melihat semangat rakyat Malaysia yang begitu tinggi dalam meraikan hari bersejarah itu.

"Suasananya sangat bagus, berbeza sambutan di sini dan di Jerman, kami tidak mengadakan sambutan sebegini... jadi sangat menarik untuk menyaksikannya," katanya.

Rodrigo Maroto, 35, kelahiran Sepanyol, yang bekerja dalam sektor kewangan kagum dengan perpaduan dan keharmonian berbilang kaum di negara yang dipamerkan semasa perarakan.

"Sangat bagus, penyelarasan yang hebat, melihat orang yang berbeza dengan pelbagai kumpulan yang berbeza, mereka datang ke sini bersama-sama, dan itu adalah sesuatu yang amat baik tentang negara ini,” katanya. - Bernama