SEREMBAN - Potret lelaki bermisai nipis dan bermahkota dililit dengan kain yang amat popular dalam penceritaan sejarah negara sebenarnya merupakan Dato' Klana Petra Syed Abdul Rahman Syed Ahmad al-Qadri.
Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong dalam kenyataan dalam Facebook rasminya berkata, ada mendakwa ia wajah Dato' Dol Said Penghulu Naning, wajah Tuan Antah dan Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Klana Syed Abdul Rahman.
"Hal ini telah lama dibahaskan berhubung wajah tokoh sebenar yang potretnya merata tempat khususnya di media sosial dalam mendidik anak bangsa mengenai sejarah negara.
Tambah kenyataan itu, pada masa sama beliau juga anak saudara kepada Dato' Klana Kawal dan Dato' Klana Sendeng.
"Sebelum menjadi Undang Sungei Ujong, Dato' Syed Abdul Rahman menyandang pusaka Dato' Orang Kaya Laksamana. Beliau terkenal sebagai tokoh memainkan peranan besar dalam perang saudara Sungei Ujong dan Perang Bukit Putus.
"Gambar asal beliau itu sebenarnya bersama isteri Toh Puan Wan Jaebah Kundur tersimpan kemas di Arkib Sungei Ujong. Malah gambar itu juga disalin oleh Arkib Negara dan direkodkan sebagai Dato' Klana Petra Syed Abdul Rahman.
"Gambar itu dirakam sekitar tahun 1878 hingga1879 di kedai gambar Lot 54, Victoria Street, Singapura oleh jurugambar bernama Loo Pun Ting," katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, malah mahkota yang dipakai ketika bergambar itu juga masih tersimpan rapi oleh Arkib Sungei Ujong yang mana mahkotanya diperbuat daripada kayu dan dililit dengan kain untuk memudahkan pemakaian.
"Sehubungan itu, berdasarkan bukti-bukti konkrit ini tidaklah benar cakap-cakap atau dakwaan yang mengatakan wajah potret itu adalah Tuan Antah atau Dato' Dol Said Penghulu Naning. Semoga penjelasan ini memanfaatkan kita semua," katanya.