SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) diminta mencontohi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi naik taraf teknologi dan sistem agar masalah permohonan majikan bagi kuota pengambilan pekerja asing dapat ditangani dengan efektif.
Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, banyak perkara boleh dipelajari KSM susulan timbulnya masalah berkenaan.
Memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT) pada Selasa, William menegaskan, kementerian diterajui Datuk Seri M Saravanan itu perlu mencontohi KKM khususnya dalam pengurusan kempen vaksinasi di seluruh negara.
Katanya, KKM mengadakan tiga pusingan vaksinasi membabitkan jutaan orang dan hampir tiada laporan mengenai kejadian tidak diingini berlaku.
"Saya hairan kenapa sesuatu yang mudah seperti mengatur temu duga dilihat begitu sukar, lebih-lebih lagi sistem itu sudah disumberluarkan kepada sebuah syarikat swasta.
"Jika masalahnya disebabkan syarikat swasta itu, mungkin tiba masanya untuk menyemak semula perjanjian perkhidmatan,” kata beliau.
Muka depan Sinar Harian pada Selasa melaporkan sistem pengambilan pekerja asing KSM didakwa tidak teratur dan menyusahkan sehingga menyebabkan Kompleks D kementerian itu di Putrajaya penuh sesak dengan majikan yang datang seawal jam 4 pagi untuk mendapatkan nombor giliran.
KSM dikatakan mengehadkan hanya seramai 300 majikan untuk ditemu duga setiap hari tetapi kehadiran mereka dari seluruh negara melebihi kuota ditetapkan malah majikan juga perlu melalui tiga peringkat berbeza sebelum proses temu duga tersebut.
Susulan itu, William turut mempersoalkan kebijaksanaan menemu bual majikan dari negeri lain di Putrajaya untuk tujuan mendapatkan kuota pengambilan pekerja asing tersebut.
Beliau menegaskan, akibat situasi itu, majikan datang berduyun-duyun untuk memohon kuota mereka di KSM.
Jelasnya, keadaan itu sekali gus menunjukkan 'defisit' atau kekurangan keyakinan majikan terhadap KSM.
Justeru, William menggesa kementerian berkenaan turut menambah baik komunikasinya dengan majikan untuk membina semula keyakinan golongan majikan.
"Isu buruh kekal penghalang nombor satu untuk pemulihan Malaysia daripada pandemik dan kita tidak boleh membuat kesilapan itu," katanya.