TANJUNG MALIM - Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita warga Myanmar ditahan polis selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah di sini pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 8.50 pagi itu, kesemua mereka berusia 31 hingga 40 tahun ditahan dalam sebuah teksi ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di Kilometer 371.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, teksi yang dipandu lelaki tempatan berusia 49 tahun itu ditahan selepas mendapati mereka berada dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan awal terhadap pemandu dan kenderaan dapati tidak terdapat barang atau kesalahan yang menyalahi undang-undang.
"Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati empat penumpang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri menyebabkan mereka ditahan untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati keempat-empat suspek bekerja sebagai buruh sebuah ladang teh di Cameron Highlands.
"Disebabkan gaji yang diterima tidak memadai, mereka menaiki teksi dari Simpang Pulai untuk ke Negeri Sembilan dengan bayaran sebanyak RM700 kerana telah mendapat kerja baharu di negeri itu.
"Pemandu teksi telah kita tahan selama 24 jam dan dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya," katanya.
Mohd Hasni berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama.