Pakat mai Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Alor Setar

Iklan
Mahdzir (dua dari kanan) meninjau persiapan Jelajah AKM di pekarangan Stadium Darul Aman pada Rabu.

ALOR SETAR - Penduduk di wilayah Utara dipelawa memeriahkan dan memanfaatkan pelbagai tawaran sepanjang tiga hari Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) negeri Kedah bermula Jumaat hingga Ahad ini di pekarangan Stadium Darul Aman.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program yang menyasarkan 100,000 pengunjung itu menampilkan 117 program bersesuaian dengan aspirasi Keluarga Malaysia meliputi pelbagai aspek.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara keunikan yang diperkenalkan pada Jelajah AKM Kedah ialah jualan ‘Happy Hour’ yang diadakan dua kali sehari menawarkan barangan keperluan asas seperti beras dan ayam yang dijual pada harga murah.

"Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan beras 5 kilogram (kg) dan seekor ayam pada harga RM10, berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

Iklan

"Sebanyak 2,000 pek beras dan ayam ditawarkan pada setiap sesi, pada 11 pagi dan 4.30 petang. Sepanjang tiga hari itu sebanyak 6,000 pek ayam dan beras ditawarkan,” katanya ketika meninjau persiapan Jelajah AKM di pekarangan Stadium Darul Aman pada Rabu.

Mahdzir berkata, penganjuran kali ini mengetengahkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai Kementerian Peneraju menampilkan beberapa kelainan.

Iklan

"Antaranya, elemen Mini Karnival Usahawan Desa menerusi Pavilion Usahawan Desa KPLB yang memaparkan program keusahawanan seperti Program Rural Business Challenge (RBC), Program Start Right (PSR), Program Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Program Desamall.

"Rakan strategik Program Pendigitalan Usahawan (PPU) dan 60 usahawan bimbingan agensi bawah KPLB turut memasarkan produk bagi kategori makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan, fesyen dan aksesori. Pavilion Usahawan Desa menyediakan ruang memasarkan pelbagai produk jualan selain sebuah bistro sebagai tarikan pengunjung,” katanya.

Menurut Mahdzir, turut diketengahkan elemen kebudayaan orang asli menerusi penglibatan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagai tarikan memeriahkan lagi Jelajah AKM Kedah meliputi kaunter informasi dan aktiviti kebudayaan seperti persembahan tarian.

"Program menarik lain, penglibatan pelajar GiatMARA, gunting rambut percuma dan membaiki motosikal percuma. Turut diadakan ceramah perdana oleh penceramah terkenal, selain program hiburan untuk anak muda, jadi kita harap semua program ini dapat menarik ramai pengunjung,” katanya.

Mahdzir turut mengingatkan golongan pencari kerja dan belia di negeri ini agar mengambil peluang mengintai tawaran pekerjaan yang ditawarkan dalam Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena Jelajah AKM berikutan terdapat lebih 4,000 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi 35 majikan yang mengesahkan penyertaan.

"Terdapat dua karnival kerjaya, satu untuk melanjutkan pelajaran dalam TVET, satu lagi yang ditawarkan syarikat. Jelajah AKM Kedah sesuai dikunjungi semua lapisan masyarakat kerana ia meliputi pelbagai aspek.

"Acara yang dijangka paling dinanti-nantikan ialah cabutan bertuah sebuah motosikal untuk dimenangi setiap hari dan sebuah kereta sebagai hadiah utama pada hari terakhir menanti pengunjung bertuah,” katanya lagi.

Perasmian Jelajah AKM Kedah akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3.30 petang Jumaat.