HULU SELANGOR - Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Isnin ditemui maut dalam sungai di hadapan Sekolah Agama Kuala Kubu Bharu, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mayat wanita berusia 57 tahun itu ditemui oleh anaknya sekitar jam 12 tengah hari sebelum memaklumkan kepada polis 30 minit kemudian.
Iklan
Iklan
"Mangsa dikatakan keluar dari rumah pada 29 Ogos jam lebih kurang 7 malam dan tidak pulang ke rumah.
"Anak mangsa seorang lelaki berusia 22 tahun datang ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu membuat laporan pada 30 Ogos jam lebih kurang 7.47 malam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Suffian berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita tempatan dianggarkan ditemui sejauh 100 meter dari kediamannya.
"Pemeriksaan pihak forensik mendapati tiada unsur-unsur jenayah berlaku terhadap mayat mangsa.
"Punca kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR)," ujar beliau.