KLUANG - Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang membantu seorang lelaki warga emas yang mengalami sesak nafas semasa mendaki Gunung Lambak di sini pada Rabu.
Lelaki terbabit yang berusia 60-an dikatakan ke gunung berkenaan seorang diri untuk aktiviti mendaki sebelum mengalami kesukaran bernafas.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shamsulamri Mohd Shahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 3.51 petang.
"Seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.
"Mangsa mengalami sesak nafas semasa aktviti mendaki gunung pada ketinggian 200 meter dari kaki gunung tersebut. Pihak bomba bertindak memberikan bantuan pernafasan dari tangki oksigen jentera EMRS J2-04.
"Mangsa turun sendiri selepas keadaan stabil dengan dipantau pasukan pegawai perubatan yang hadir. Operasi tamat pada jam 5.35 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.