KUALA KRAI - Seorang peniaga berusia 22 tahun maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah bas dalam kejadian di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini pada Rabu.
Dalam kejadian jam 4.16 petang itu mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kancil maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang.
"Setiba di lokasi kejadian, Perodua Kancil yang dipandu mangsa telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
"Ekoran itu, kereta dipandu mangsa telah bertembung dengan sebuah bas yang membawa 17 penumpang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa maut di lokasi sementara pemandu bas yang berusia 37 tahun hanya mengalami luka kecil dan telah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.
Katanya, kesemua penumpang bas bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.