NEGARA telah menyambut Hari Kebangsaan ke-65 pada Rabu yang menyaksikan kita telah bebas dan merdeka daripada taklukan penjajah selama 65 tahun.
Dalam tempoh itu, kita telah mencapai kestabilan membolehkan rakyat hidup aman damai dan tanpa ada lagi peperangan seperti dahulu.
Iklan
Iklan
Namun, dalam kita menyambut kebebasan daripada Portugis, Jepun dan British, kita sebenarnya dalam sedar atau tidak perlu berwaspada dengan konsep penjajahan era baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bentuk penjajahan di era modenisasi tidak lagi sama seperti era kolonial dan ia adalah satu ancaman berbahaya serta cara paling mudah menjarah minda dan jati diri bangsa, sekali gus mampu menghancurkan sesebuah negara.
Ia bakal menyebabkan negara kembali dijajah dan perjuangan wira-wira terdahulu hanya akan menjadi sia-sia kerana sikap rakyat yang teracun oleh penjajahan minda dan budaya.
Justeru, generasi baharu dan masyarakat perlu didedahkan dengan semangat perjuangan pahlawan dan dalam masa sama memastikan rakyat berada di landasan betul mengikut tuntutan ajaran agama.
Sudah tentu, kita tidak mahu dijajah sekali lagi dengan penjajahan minda dan budaya ini yang kesannya bakal memberikan masalah besar kepada negara suatu hari nanti.