JPN Terengganu rekod 232 kes daftar lewat kelahiran

Iklan
Mohamad Nasir (tiga dari kanan) meraikan bayi yang dilahirkan pada 31 Ogos di HSNZ pada Rabu

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu menerima sebanyak 232 permohonan pendaftaran lewat sijil kelahiran di seluruh negeri ini dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Mohamad Nasir Kareem berkata, tahap kesedaran rendah dalam kalangan ibu bapa dan waris bayi yang baru dilahirkan antara punca jumlah kes daftar lewat sijil kelahiran masih tinggi direkodkan.

Iklan
Iklan

"Antara alasan yang sering diberikan pemohon ketika mengemukakan permohonan di JPN adalah masalah keluarga, pengangkutan dan kewangan.

"Kita pernah terima kes daftar lewat kelahiran melibatkan individu berusia 60 tahun pada beberapa tahun lalu dan dalam tempoh itu, dia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Iklan

"Permohonannya telah diluluskan namun terpaksa mengambil sedikit masa kerana melibatkan siasatan dan beberapa proses mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut Mohamad Nasir, program itu merupakan inisiatif JPN untuk menggalakkan penduduk melakukan pendaftaran kelahiran awal iaitu dalam tempoh 60 hari selepas dilahirkan bagi memudahkan mereka mendapat sijil kelahiran.

Beliau berkata, sekiranya pendaftaran dilakukan selepas tempoh itu, ia akan dikategorikan sebagai daftar lewat dan prosesnya perlu dilakukan dengan cara berbeza serta sedikit sukar kerana perlu diperhalusi terlebih dahulu selain dikenakan bayaran RM50.

"Oleh itu, kita menyeru orang ramai supaya tidak mengambil mudah berkaitan pendaftaran kelahiran kerana boleh mendatangkan masalah di kemudian hari seperti keciciran dalam pendidikan,” katanya.

Kata Mohamad Nasir, program MEKAR menjadi salah satu program turun padang JPN bertujuan memudahkan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan sijil kelahiran kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.

"Ini merupakan pendekatan produktif jabatan tersebut dalam memastikan setiap penduduk di negara ini yang layak menerima dokumen pengenalan diri yang sah sekaligus menikmati kemudahan ditawarkan kerajaan,” katanya.