Lebih 5,000 rumah di Selangor tidak terjual

Iklan
Rodziah

SHAH ALAM - Selangor menyumbang 5,215 unit daripada jumlah keseluruhan 35,592 unit kediaman tidak terjual (overhang volume) sehingga suku pertama tahun ini di seluruh negara.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, Selangor adalah negeri ketiga memiliki unit kediaman tidak terjual terbanyak selepas Johor (5,992 unit) dan Pulau Pinang (5,816 unit).

Iklan
Iklan

Menurutnya, data tersebut berdasarkan Laporan Pasaran Harta Tanah bagi suku pertama tahun ini diterbitkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Tanah (JPPH) atau Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

Bagaimanapun beliau berkata, inisiatif perumahan mampu milik atau lebih dikenali sebagai Rumah Selangorku (RSKU) tidak berada dalam situasi 'overhang' kerana bilangan permohonan sentiasa jauh lebih tinggi daripada bekalan.

Iklan

"Cuma, pembeli dan pemaju bagi RSKU perlu melalui proses yang lebih ketat berbanding proses jual beli (rumah) yang biasa maka ia mengambil masa yang lebih panjang," katanya kepada Sinar Harian.

Rodziah berkata, kerajaan Selangor melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengambil beberapa langkah demi mengurangkan masa diambil bagi menyempurnakan proses jual beli RSKU secara keseluruhan.

Iklan

"Suatu perkara lagi adalah berkenaan kesesuaian permohonan atau permintaan serta bekalan dan melalui data permohonan, kita dapati hampir 50 peratus daripada pemohon merupakan golongan bujang.

"Secara dasarnya, penyediaan rumah tiga bilik berharga RM250,000 adalah kurang tepat bagi golongan bujang dan baharu mula bekerja kerana kemampuan mereka terhad, pemohon ini juga berusia di bawah 30 tahun," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, agak sukar untuk golongan berkenaan memiliki hartanah berharga RM250,000 memandangkan gaji bulanan mereka di bawah RM5,000 secara purata.

"Mengambil kira kesemua fakta ini, satu skim baharu telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri iaitu RSKU 3.0 dan rumah yang ditawarkan lebih sesuai iaitu mampu dimiliki dengan pembiayaan mampu diservis.

"Golongan bujang tidak memerlukan sampai tiga bilik kerana satu bilik sudah memadai dan mungkin dalam masa lebih lima tahun, setelah berkahwin, barulah mereka memerlukan rumah lebih besar dengan bilangan bilik lebih banyak," katanya

Rodziah menambah, pada ketika gaji mereka mungkin sudah meningkat, maka pihak terlibat mampu membeli rumah lebih besar atau lebih mahal, begitulah seterusnya sehingga mereka terkeluar daripada cengkaman kehidupan golongan B40.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan Selangor menerusi LPHS dengan kerjasama pihak ketiga akan terus mempertimbang untuk menawarkan skim pinjaman dan pembiayaan perumahan terutama buat golongan B40 yang tidak layak atau sukar mendapatkan pinjaman, pembiayaan bank atau institusi untuk pembelian kediaman sendiri kerana pendapatan rendah di bawah paras ambang kelayakan atau isu-isu berkaitan termasuk muflis.

Menurut Rodziah, beberapa skim berkonsepkan pembiayaan sewa milik iaitu penyewaan jangka panjang disediakan bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh serta syarat kerajaan negeri.

"Antaranya Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) dan Skim Sewa Milik Selangor atau nama lamanya, Skim Smart Sewa to Ownership (2STAY)," katanya.