Nelayan Vietnam gagal rompak 1.1 tan hasil ikan negara

Iklan
Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua individu yang ditahan itu berumur antara 32 hingga 52 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan merampas 1.1 tan ikan yang cuba dirompak oleh sebuah kapal Vietnam selepas menceroboh masuk ke perairan negara pada Selasa.

Bot yang dinaiki oleh seorang tekong dan lima awak-awak berjaya ditahan Maritim Malaysia Kelantan jam 6.35 petang pada jarak lebih kurang 55 batu nautika dari muara Tok Bali.

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, selain ikan pihaknya turut merampas 500 liter minyak diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM365,000.

Beliau berkata, menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia Kelantan bot tersebut bertindak melarikan diri namun gagal selepas berjaya dipintas.

Iklan

Syed Nor Adli berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua individu yang ditahan itu berumur antara 32 hingga 52 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, tekong bot gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

Iklan

"Kes akan disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan Malaysia.

"Bot turut disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimile tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia," katanya.