PUTRAJAYA - Kementerian Luar akan melaksanakan proses rasionalisasi pada tahun depan bagi menyusun semula keberadaan pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia (Malawakil) di luar negara, kata menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Proses yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kementerian-kementerian berkaitan itu akan menentukan Malawakil sedia ada diteruskan atau ditutup, dibuka pejabat baharu, melantik duta kelana (roving ambassadors) atau lebih ramai konsul kehormat, gred ketua perwakilan, jumlah pegawai dan kelengkapan aset.
Menurut Saifuddin, rasionalisasi itu selaras dengan cabaran-cabaran besar semasa dan pendekatan futuris (futurist) seperti menganalisis ekonomi yang sedang pesat membangun serta fokus-fokus baharu negara seperti mewujudkan Atase Bahasa dan Kebudayaan.
"Sekarang kita ada 107 pejabat. Adakah nak kekal 107 atau jadi 105 atau jadi 109. Di peringkat dalaman kita telah buat kajian lengkap, kita tahu mana patut tutup, mana patut buka dan mana patut diperkuatkan.
"Kita sedia berbincang dengan kementerian-kementerian lain. Ini diukur daripada sudut kepentingan politik dan keselamatan, ekonomi dan perdagangan, dan sosio-budaya negara," katanya semasa membentangkan Kad Laporan Setahun Kementerian Luar di sini hari ini.
Tanpa menyatakan negara yang akan menjadi fokus dalam proses rasionalisasi itu bagi menjaga hubungan dua hala dengan Malaysia, Saifuddin berkata ia adalah perkara lazim yang dilaksanakan kebanyakan negara.
Ditanya sama ada proses rasionalisasi itu turut melibatkan kekosongan 26 ketua perwakilan sedia ada, Saifuddin menjawab, ia tidak berkaitan dengan proses rasionalisasi itu.
Sebaliknya, pengisian jawatan-jawatan berkenaan sudah pun disenaraikan dan sedang dalam proses untuk dimuktamadkan.
"Ia tidak berkaitan dengan proses rasionalisasi...Sekarang masih dalam peringkat tapisan dan perlu mendapatkan persetujuan negara yang akan dihantar," katanya.
Selain proses rasionalisasi, Saifuddin berkata, kementerian juga menggariskan empat tumpuan lain iaitu penubuhan Jabatan Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan, mewujudkan bidang-bidang pakar, agenda penghakupayaan wanita dan memperkukuh perkhidmatan konsular.
Menurut beliau, kementerian akan menaik taraf Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam (BKDA) kepada Jabatan Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan, bertujuan memfasilitasi kerja-kerja mengembangkan naratif kebudayaan Malaysia (pemikiran, amalan dan seni budaya).
Ini bagi meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat dan membawa industri kreatif tempatan ke pentas antarabangsa antaranya usaha menobatkan Malaysia sebagai Persada Nasyid Kontemporari, membawa industri seni negara ke persada antarabangsa melalui projek Road to Oscars dan Road to Grammy.
"Kita tengok model negara-negara lain yang lebih ke hadapan misalnya Indonesia dan Korea Selatan. Objektifnya adalah menonjolkan nilai-nilai dan identiti kebangsaan Malaysia, mempromosi Bahasa Melayu dan kebudayaan Malaysia, dan menekankan perhubungan dan pertukaran budaya dan sukan," katanya.
Dalam usaha mewujudkan bidang-bidang pakar, Saifuddin berkata, kementerian akan melipatgandakan pembangunan sumber manusia dengan inisiatif-inisiatif baharu seperti meningkatkan bilangan tajaan/biasiswa kepada warganya, menjalankan program immersion (penghayatan) di dalam dan di luar negara, dan menubuhkan kumpulan-kumpulan pakar dalam bidang tertentu.
Di bawah agenda penghakupayaan wanita, katanya, kementerian akan melaksanakan agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan, belanjawan responsif gender dan keseimbangan gender dalam pelantikan ketua-ketua Malawakil, ketua-ketua jabatan dan bahagian, delegasi, jawatankuasa dan panel forum.
Bagi memperkukuh perkhidmatan konsular, kementerian sedang membangunkan sistem e-Konsular 3.0 untuk menambah baik modul pembayaran dalam talian, modul temu janji, modul push notification dan modul sokongan seperti pengurusan surat pengesahan kematian rakyat Malaysia di luar negara.
"Ada 2,500 rakyat di dalam penjara di banyak negara, jadi perkhidmatan konsular kita perlu diperkukuhkan. Ini sangat penting untuk rakyat Malaysia di luar negara kerana jika ada masalah, kita perlu ada kemudahan mencukupi untuk membantu mereka," kata Saifuddin. - Bernama