PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperkenalkan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia yang menyasarkan hartawan global dari seluruh dunia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, permohonan program itu akan dibuka pada 1 Oktober depan.
"Ia terbuka kepada semua hartawan global kecuali mereka dari Israel atau negara-negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia," katanya.
Menurut Hamzah, program tersebut telah mendapat persetujuan daripada kabinet pada 17 Ogos lalu.
"PVIP bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menjana hasil pendapatan negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," katanya menerusi sidang akhbar PVIP di kementeriannya, pada Khamis.
Beliau berkata, bagi memastikan pelaksanaan PVIP berjalan lancar serta tidak mengganggu-gugat keselamatan dan kedaulatan negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menetapkan dasar kawalan antaranya pengenalan siling bilangan peserta (prinsipal dan tanggungan) pada satu-satu masa tidak melebihi satu peratus daripada jumlah rakyat Malaysia.
"Kalau warganegara sekarang ini ada 30 juta, maka bermakna hanya satu peratus (peserta) mesti ada dan jumlah itu turut merangkumi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)," ujarnya.
Hamzah berkata, PVIP terbuka kepada semua kategori umur dan prinsipal perlu mengemukakan bukti pendapatan sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan atau RM480,000 setahun.
"Prinsipal perlu memiliki akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran 50 peratus dengan tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan dibenarkan selepas setahun menyertai program ini," katanya.
Di bawah PVIP, peserta dibenarkan membawa tanggungan seperti pasangan, anak-anak, ibu bapa, ibu bapa mentua dan pembantu rumah.
"Kesemua tanggungan yang menyertai program tersebut adalah tertakluk kepada syarat-syarat penyertaan yang berkaitan dan Peraturan-Peraturan Imigresen yang berkuat kuasa," katanya.
Selain itu ujarnya, fi penyertaan RM200,000 dikenakan secara sekali bayar (one off) untuk prinsipal dan RM100,000 bagi setiap tanggungan.
Menurutnya, bagi fi pas pula adalah RM2,000 setahun, selain perlu mengemukakan Sijil Berkelakuan Baik (LOGC) untuk semua peserta dan tanggungan yang dikeluarkan dan disahkan oleh pihak berkuasa negara asal atau negara bermastautin.
Beliau berkata, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 peserta pada tahun pertama program PVIP diperkenalkan.
"Anggaran hasil kepada negara adalah RM200 juta dan simpanan tetap sebanyak RM1 bilion," katanya.
Tegas Hamzah, KDN melalui imigresen dan polis memberi jaminan akan melaksanakan penguatkuasaan secara berkala dari semasa ke semasa bagi memastikan program tersebut menepati dasar dan matlamat.
"Selain perlu lulus ujian saringan kesihatan di Malaysia, peserta dan tanggungan juga akan disaring oleh polis," katanya.