PASIR PUTEH - Balu nelayan bot karam Pulau Redang tidak menyangka arwah suaminya mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang kini membantunya untuk meneruskan kehidupan.
Ibu tunggal tersebut, Rosainy Mohd Zin, 47, berkata, arwah suaminya, Allahyarham Raja Zainuddin Raja Ibrahim pernah bekerja sebagai pemandu bas ekspres sebelum berhenti pada tahun 2019 atas alasan mahu meluangkan lebih masa bersama keluarga dan mendalami ilmu agama.
Menurut Rosainy, suaminya teringin menunaikan solat berjemaah pada setiap lima waktu di masjid yang terletak bersebelahan rumah mereka di Taman Jaya, Cherang Ruku di sini.
"Selepas berhenti, dia mencari pendapatan sebagai nelayan menggunakan bot jenis fiber miliknya dan semasa kejadian, itu baru kali kedua dia pergi menangkap ikan lebih jauh di Pulau Redang berbanding kebiasaanya di perairan Kelantan sahaja.
"Sewaktu bekerja pemandu bas, dia mencarum melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala semasa menjadi nelayan, saya baru saja mengetahui dia juga mencarum SKSPS,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Cek Faedah Pengurusan Jenazah (FPJ) sebanyak RM2,000 oleh Perkeso di Cherang Ruku di sini pada Khamis.
Rosainy yang mempunyai tiga anak berusia antara 10 hingga 15 tahun dan masih bersekolah itu turut akan menerima bayaran Pencen Penakat RM1,439.58 sebulan dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM975 sebulan hasil caruman arwah menerusi SKSPS.
Kata Rosainy, semasa hayatnya, Raja Zainuddin bersungguh-sungguh mendaftar keahlian nelayan dan melakukan caruman SKSPS yang dapat meringankan bebanan pembantu tadbir itu untuk meneruskan kehidupan selepas ketiadaan suami.
"Tak sangka banyak persediaan dibuat arwah dan sekarang amat membantu saya untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak kami,” katanya yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Sekolah Kebangsaan Sepulau di sini.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, setakat ini hanya 6,000 orang bekerja sendiri (OBS) termasuk nelayan di Kelantan mencarum melalui SKSPS di bawah Perkeso.
"Di bawah Pelan 2 (RM232.80), kerajaan akan membiayai 80 peratus atau RM186.20 manakala pencarum hanya membayar 20% atau RM46.60 sahaja untuk mendapat perlindungan Perkeso selama setahun.
"OBS perlu ambil iktibar daripada kejadian bot karam di Pulau Redang dan ambil langkah mencarum SKSPS supaya nasib waris terbela jika berlaku musibah atau kematian,” katanya.
Seorang lagi penerima, Hazida Fouzi, 44, balu kepada arwah Mohd Nazri Abu Bakar iaitu mangsa kejadian sama, turut menerima FPJ sebanyak RM2,000 akan menerima bayaran Pencen Penakat RM633.33 sebulan.
Dalam kejadian pada 8 Ogos lalu, bot yang dinaiki enam nelayan karam pada jam 10 malam dan hanya seorang mangsa iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, terselamat manakala empat maut serta seorang masih hilang.