Rosmah telah mendominasi Najib: Hakim

Iklan
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi pada Khamis. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mendapati Datin Seri Rosmah Mansor telah mendominasi suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi keputusan penghakiman setebal 116 muka surat, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, Rosmah mempunyai kawalan ke atas Najib.

Iklan
Iklan

Meskipun tiada urusan dalam tugas Najib atau hal ehwal kerajaan, hakim itu berkata, isteri bekas Perdana Menteri itu tetap melakukan perbuatan tersebut.

"Bekas Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor menyatakan wanita itu mempunyai sifat sombong dan kebolehan untuk mempengaruhi keputusan dalam perkhidmatan awam.

Iklan

"Rizal telah bekerja dengannya selama beberapa tahun dan menyaksikan sikap Rosmah secara peribadi,” katanya selepas menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta berhubung tiga pertuduhan rasuah projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Menyentuh rakaman audio dan transkrip mengandungi ayat ‘Can I advise you something?’, hakim itu berkata, tertuduh tidak tegas menyatakan bahawa suara dalam rakaman audio itu bukan miliknya dan Najib.

Iklan

Ia berbeza dengan kenyataan tiga saksi iaitu Rizal, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Madinah Mohamed yang telah mengenal pasti suara dalam rakaman itu milik pasangan suami isteri berkenaan.

"Tertuduh cuba mengaitkannya dengan perbincangan biasa antara suami dan isteri, namun ia jelas menunjukkan bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib mengenai hal ehwal kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini berkata, memandangkan Najib tidak dipanggil untuk memberi keterangan, maka semua kenyataan dalam kes yang mengaitkan bekas Perdana Menteri itu adalah bersifat khabar angin.

Menurutnya, ia tidak boleh diterima sebagai bukti kerana hanya Najib boleh mengesahkan apa yang didakwa oleh Rosmah.

Sementara itu, hakim ini berkata, selepas penilaian yang maksimum, mahkamah mendapati tertuduh gagal untuk menyangkal anggapan rasuah mengikut Seksyen 50 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Pembelaan tertuduh adalah penafian kosong semata-mata yang dibuat tanpa bukti yang boleh dipercayai dan tidak berasas untuk menimbulkan keraguan yang munasabah,” katanya.

Rosmah dihukum penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Selepas mendengar rayuan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, Mohamed Zaini membenarkan Rosmah menangguhkan hukuman penjara dan denda, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun, jika gagal membayar denda tersebut.

Rosmah dikenakan hukuman itu selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.