YAN - Kerajaan yakin daerah Yan akan berkembang menjadi sebuah daerah perindustrian selari dengan pelaksanaan Projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting yang dibangunkan Kumpulan MMC.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan projek itu bakal mengubah Yan seperti daerah Pengerang di Johor yang asalnya hanya perkampungan nelayan.
Katanya, seperti di Pengerang penduduk di Yan juga terutama golongan muda bakal menikmati banyak peluang pekerjaan selepas ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Kumpulan MMC, Tan Sri Tajudin Atan dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Bhd, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Menurutnya, projek tersebut bernilai RM14.4 bilion dibangunkan oleh Kumpulan MMC dengan kerjasama SKS Corporation Sdn. Bhd.
"Terima kasih kepada kumpulan MMC, saya yakin pelaburan ini mampu melonjakkan nama Yan dan negeri Kedah khususnya sebagai hab industri petroleum terutama yang berasaskan gas asli cecair (LNG) di rantau ini," kata beliau.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pelancaran dua projek pelaburan mega termasuk Kedah Rubber City (KRC) sebelum ini yang kesemuanya bernilai kira-kira RM24.4 bilion menunjukkan Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Pusat.
"Menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelosok negara supaya tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada nikmat pembangunan negara.
"Usaha ini menunjukkan setiap negeri mendapat layanan sama rata dan peluang ekonomi disebar luas ke seluruh negara terutamanya kawasan-kawasan yang sebelum ini terlepas daripada arus kemajuan yang pesat," jelasnya.
Untuk rekod, antara komponen projek terbabit adalah hab kapal ke kapal (STS) Yan iaitu sebuah pelabuhan pesisiran pantai khusus untuk aktiviti pemindahan kargo produk gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum secara STS di Had Pelabuhan Yan.
Komponen kedua yang bakal dibina adalah Loji Jana Kuasa Turbin Gas Kitar Padu dengan kapasiti 1,400MW yang turut dapat menjamin bekalan tenaga elektrik untuk negara, khususnya bagi wilayah utara di Semenanjung.
Manakala, komponen ketiga adalah terminal penghasilan semula gas berupa kapal terapung atau Floating Storage and Regassification Unit (FSRU) ataupun Floating Storage Unit (FSU) yang bakal berlabuh di pesisiran pantai Yan yang dikenali sebagai RGT Yan.