Sarawak, Indonesia bincang penerbangan terus Kuching-Pontianak

Iklan
Difahamkan syarikat penerbangan AirAsia sudah memohon untuk memulakan penerbangan bagi Kuching ke Pontianak. - Foto fail Bernama

SERIAN - Kerajaan Sarawak akan berbincang dengan Indonesia bagi memulakan penerbangan terus dari Kuching ke Pontianak.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pihaknya akan memulakan perbincangan tersebut dengan pihak Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching tidak lama lagi.

Iklan
Iklan

"Saya juga difahamkan bahawa syarikat penerbangan AirAsia sudah memohon untuk memulakan penerbangan bagi Kuching ke Pontianak.

"Jadi kita harap perkara ini dapat direalisasikan segera agar sektor pengangkutan kita dapat kembali seperti sebelum pandemik Covid-19,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan semula operasi bas ekspres antara Kuching dan Pontianak di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada Khamis.

Sementara itu, Kim Shin mengingatkan pemandu bas ekspres bagi perjalanan Kuching-Pontianak-Kuching supaya tidak mengambil penumpang di pertengahan jalan bagi mengelak kemasukan pendatang tanpa izin dan aktiviti penyeludupan dadah.

Iklan

"Pegawai penguat kuasa juga telah diingatkan melakukan pemeriksaan yang kerap agar tiada pengambilan penumpang secara tiba-tiba, secara haram dan tiada aktiviti berkaitan dadah,” katanya.

Kim Shin berkata, sebagai permulaan, kekerapan perkhidmatan bas ekspres Kuching-Pontianak dan Pontianak Kuching adalah lima kali seminggu.

"Tempoh percubaan ini adalah selama sebulan yang bermula hari ini hingga 30 September, jika mendapat sambutan kita (kementerian) akan menambah perkhidmatan bas memandangkan ada syarikat lain turut membuat permohonan,” katanya. - Bernama