Eksekutif media sosial boleh didenda ekoran kandungan berbahaya

Iklan
Mark Zuckerberg menghadiri mesyuarat dengan ahli politik bagi membincangkan peraturan berkaitan media sosial dan kandungan berbahaya pada 2 April.- Foto Niall Carson/PA

LONDON - BRITAIN. Eksekutif laman media sosial kini boleh dipertanggungjawabkan terhadap kandungan bahan berbahaya yang disebarkan di platform masing-masing, menurut laporan pelan kerajaan Britain yang diperoleh akhbar Guardian.

Kebimbangan dilapor semakin meningkat berhubung peranan internet dalam penyebaran bahan berkaitan keganasan, penderaan kanak-kanak, bunuh diri dan sebagainya yang memerlukan tindakan segera diambil.

Iklan
Iklan

Di bawah pelan yang dijangka diterbitkan Isnin, kerajaan akan melaksanakan garis panduan baharu berhubung tanggungjawab platform media sosial berhubung kandungan berbahaya, bagaimana untuk memenuhi tanggungjawab tersebut dan apa yang akan terjadi sekiranya sekiranya ia gagal dilaksanakan.

Pelaksanaan tersebut akan dipantau penyelaras bebas yang mempunyai kuasa mengenakan denda terhadap syarikat media yang melanggar peraturan dan mempertanggungjawabkan seseorang eksekutif secara peribadi.

Iklan

Pelan tersebut turut menyatakan beberapa garis panduan penting antaranya:

1) Kerajaan mempunyai kuasa mengarahkan penyelaras bertindak berhubung isu spesifik seperti aktiviti keganasan atau eksploitasi seks kanak-kanak.

Iklan

2) Laporan tahunan yang telus daripada syarikat media, mendedahkan kandungan berbahaya di platform masing-masing dan langkah yang diambil bagi menangani masalah tersebut.

3) Kerjasama dengan pihak polis dan agensi penguatkuasaan lain berhubung kandungan berbahaya seperti hasutan keganasan dan penjualan senjata haram.

Survei oleh Pejabat Komunikasi, atau dikenali sebagai Ofcom, pihak berkuasa pengawalseliaan yang diluluskan oleh kerajaan Britain untuk sektor penyiaran, telekomunikasi dan industri pos mendedahkan, 45 peratus pengguna internet dewasa pernah mengalami sebarang bentuk bahaya atas talian dan 21 peratus mengambil tindakan melaporkan kandungan berbahaya di media sosial.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama Setiausaha Dalam Negeri Britain, Sajid Javid dan Setiausaha Budaya, Media dan Sukan, Jeremy Wright mengatakan, sudah tiba waktunya untuk menetapkan standard yang jelas serta disokong oleh penguatkuasaan.

Syarikat media juga akan diminta memastikan produk dan platform masing-masing lebih selamat dan memberikan sokongan kepada pengguna yang terkesan dengan bahaya atas talian.

Antara kes yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pengaruh kandungan berbahaya di laman media sosial termasuk kematian seorang gadis berusia 14 tahun, Molly Russell pada 2017.

Ibu bapa mangsa mendakwa antara sebab anak mereka membunuh diri adalah kerana imej mencederakan diri yang terdapat di laman media sosial.

Terdahulu, pengasas bersama laman Facebook, Mark Zuckerberg menggesa peraturan antarabangsa berhubung empat aspek utama di laman sosial termasuk, pengiklanan politik, data mudah alih, privasi dan juga kandungan berbahaya. - The Guardian