GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea mencapai persetujuan dengan Barcelona untuk menandatangani penyerang Pierre-Emerick Aubameyang menerusi pertukaran pertahanan Marcos Alonso, menurut laporan menjelang tarikh akhir perpindahan pada Khamis.
Laporan itu menyebut kelab London tersebut dijangka membayar yuran dalam lingkungan 10 juta pound ditambah tawaran Alonso untuk Aubameyang, yang menyertai Barcelona pada Februari selepas meninggalkan Arsenal.
Pemain antarabangsa Gabon itu menjaringkan 13 gol dalam 24 perlawanan untuk kelab Catalan tersebut, namun berlaku lebihan daripada keperluan kelab selepas menandatangani penyerang Poland Robert Lewandowski dari Bayern Munich selain perlu menurunkan pemain untuk mematuhi peraturan kewangan LaLiga.
Jika perpindahan Aubameyang ke Chelsea berjaya, dia akan kembali ke liga utama Inggeris selepas tujuh bulan, setelah bermain untuk musuh Chelsea di London selama empat tahun.
Dia juga akan bersatu semula dengan pengendali The Blues, Thomas Tuchel, yang sebelum ini pernah bekerja bersama di kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund.
Untuk rekod, pemain berusia 33 tahun itu merupakan penjaring terbanyak EPL 2018/19 diikuti kejayaan Arsenal di pentas Piala FA pada kempen berikut, sebelum berselisih faham pengurus The Gunners, Mikel Arteta susulan isu disiplin musim lalu.
Aubameyang, yang mempunyai baki tiga tahun dalam kontraknya di Barcelona mengalami kecederaan rahang berikutan rompakan bersenjata di rumahnya sebelum ini dijangka diketepikan tiga minggu.
Untuk rekod, Chelsea bermain tanpa penyerang sejati selepas Romelu Lukaku berpindah semula ke Inter Milan secara pinjaman, manakala Timo Werner kembali ke RB Leipzig.
Kelab London itu sebelum ini menandatangani beberapa pemain berprofil tinggi dalam jendela perpindahan termasuk Raheem Sterling dan Kalidou Koulibaly.