DUA tahun tanpa perarakan sambutan Hari Kebangsaan. Kehadiran lebih 100,000 rakyat Malaysia di Dataran Merdeka tahun ini membuktikan mereka sememangnya dahagakan kemeriahan sambutan tersebut.
Kuala Lumpur jadi saksi dipenuhi lautan manusia yang mula berkumpul seawal jam 3 pagi bagi meraikan Hari Kebangsaan ke-65, malah kebanyakan mereka sanggup menginap di hotel berhampiran.
Ramai juga yang sanggup berhimpit-himpit di hentian LRT dan ada juga nekad memanjat tembok semata-mata mahu melihat perarakan dengan lebih jelas.
Bagi Merak Jalanan, sama seperti setiap tahun hanya akan terpacak di hadapan televisyen tetapi aura kali ini cukup berbeza. Kemeriahan sambutan di Dataran Merdeka dapat dirasai walaupun menonton di rumah bersama anak dan isteri seawal jam 9 pagi.
Begitulah semangat dan gelagat yang ditunjukkan rakyat Malaysia sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-65.
Namun, dalam kemeriahan menyambut hari kemerdekaan itu, ada perkara yang kita masih tidak merdeka.
Isu kebersihan sering jadi topik utama setiap kali ada penganjuran aktiviti berskala besar, tidak terkecuali sambutan Hari Kebangsaan.
Timbunan sampah-sarap ditinggalkan tanpa ada rasa bersalah. Tidak dapat dipastikan berapa tan jumlah sampah yang dikumpulkan selepas berakhirnya sambutan tersebut.
Tidak hanya itu, tumbuhan renek yang menghiasi lokasi perarakan turut menjadi mangsa keghairahan orang ramai. Tumbuhan landskap yang ditanam di tepi pagar menyembah bumi akibat dipijak pengunjung.
Sayangnya kerana tumbuhan itu dijaga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama hampir dua tahun tetapi musnah dalam tempoh kurang 24 jam.
Inilah yang dikatakan kita belum lagi merdeka rohani dan jasmani walaupun mulut bersemangat melaungkan kemerdekaan berkali-kali.