KOTA BHARU - Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) Kelantan membuat satu laporan polis terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman berhubung kenyataan yang didakwa menghina dan memfitnah badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong.
Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, laporan itu bertujuan menuntut siasatan dilakukan bagi memastikan tindakan diambil kepada mana-mana pihak yang cuba campur tangan terhadap institusi kerajaan khususnya badan kehakiman dan SPRM.
Iklan
Iklan
"Tindakan (cuba campur tangan) itu dilihat boleh menyebabkan badan kehakiman dan pendakwaan ini hilang wibawa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, laporan dibuat di Balai Polis Pengkalan Chepa pada Khamis diketuai oleh Pengerusi Biro Kanun Awan Kelantan, Norizan Abd Rahman.
Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa taklimat khas di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, pihak polis telah menerima sebanyak 12 laporan di seluruh negara berhubung ucapan Ahmad Zahid yang didakwa memfitnah badan kehakiman negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.