DUNGUN – Terkejut dan teruja. Itu reaksi para sukarelawan Projek Konservasi Penyu Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort, di sini apabila menemukan seekor anak penyu berkepala dua yang masih hidup di pusat konservasi itu pada Selasa lalu.
Pengurus projek konservasi tersebut, Abidah Zaaba berkata, anak penyu dari spesis Agar itu ditemukan ketika pemeriksaan rutin sarang telur penyu sekitar jam 11 pagi dan dianggap sebagai penemuan yang jarang berlaku.
"Pemeriksaan sarang sering dilakukan bagi mengenal pasti peratus penetasan sarang dan penyu ini dipercayai sudah menetas antara tiga hingga lima hari, sebelum ditemui pada Selasa.
Menurut beliau, kejadian yang dipanggil sebagai ‘dicephalism’ itu merupakan situasi jarang berlaku kepada penyu dan faktor genetik mungkin memainkan peranan penting dalam pembentukan penyu berkepala dua ini.
Dalam pada itu, Abidah berkata, anak penyu istimewa itu kemudian diserahkan kepada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Rantau Abang pada petang ia ditemukan demi 'survival' haiwan marin berkenaan.
"Walaupun teruja dengan penemuan unik ini, anak penyu berkepala dua terpaksa diserahkan kepada PKPP kerana kita di sini tidak mempunyai fasiliti, kemahiran dan kepakaran untuk menjaganya dengan baik,” ujarnya.
Jelas beliau yang sudah menyertai projek konservasi penyu sejak tahun 2017, kebiasaannya anak penyu berkepala dua direkodkan mempunyai jangka hayat lebih pendek iaitu sekitar dua hingga tiga bulan berbanding penyu normal.
Bagaimanapun, Abidah berharap anak penyu tersebut dapat bertahan lebih lama kerana mampu menjadi tarikan kepada pelancong yang mahu melihat penemuan ‘rare’ itu secara lebih dekat, serta penting untuk tujuan penyelidikan.
"Selain itu, kita turut menemui sepasang anak penyu kembar dari sarang, pada hari yang sama penyu berkepala dua ditemukan. Bagaimanapun, anak penyu istimewa ini tidak menetas dengan baik dan sudah mati.
"Oleh kerana ia penemuan yang jarang berlaku, bangkai anak penyu kembar ini diawet dan dijadikan spesimen untuk ditunjukkan kepada pelancong serta orang ramai bagi tujuan pendidikan tentang penyu,” katanya.
Projek Konservasi Penyu Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort telah menyelamatkan sekitar 93,660 telur penyu Agar dan tuntung laut, serta melepaskan 66,037 anak penyu kembali ke laut sejak memulakan operasi pada 2016.
Pada tahun ini sahaja, sebanyak 20,351 telur penyu dan tuntung laut melibatkan 278 sarang sudah berjaya dieramkan di pusat berkenaan.