PRU15 tidak perlu diadakan tergesa-gesa: Amanah

Iklan
Dzulkefly (dua kiri) menyampaikan sumbangan topi keledar kepada salah seorang penerima pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalanraya Parlimen Kuala Selangor di Bilek Musik Empire, Pusat Niaga Astana Alam Fasa 3, Bandar Puncak Alam.

KUALA SELANGOR - Parti Amanah Negara (Amanah) berpendapat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu tergesa-gesa membubarkan Parlimen, sebaliknya menyelesaikan beberapa isu rakyat terlebih dahulu

Pengarah Strategi Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan pihak tertentu terutama dalam kalangan pemimpin UMNO yang mendesak Perdana Menteri supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera dianggap tidak bersesuaian pada masa sekarang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tarikh paling sesuai diadakan PRU15 pada suku pertama tahun depan bagi mengelakkan musim tengkujuh pada hujung tahun ini.

"Paling munasabah PRU15 diadakan pada suku pertama tahun depan iaitu sekitar Januari, Februari atau Mac.

Iklan

"Kita harap pembubaran Parlimen dapat dilaksanakan selepas musim tengkujuh dan keputusan serta pendirian ini dilihat lebih bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalanraya Parlimen Kuala Selangor di Bilek Musik Empire, Pusat Niaga Astana Alam Fasa 3, Bandar Puncak Alam.

Dzulkefly memberitahu, komitmen PH untuk mengikat dan meneruskan MoU dengan kerajaan adalah bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya parti-parti politik dapat mewujudkan kestabilan politik.

Iklan

Beliau memberitahu, kestabilan pentadbiran negara bertujuan untuk membolehkan kerajaan yang ada menumpukan usaha membendung penularan wabak Covid-19, memulihkan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan rakyat.

"Kebelakangan ini saya lihat orang politik secara umum mahu (Parlimen ) dibubarkan segera dan saya mengingatkan kepada semua apabila bergelar wakil rakyat mereka mesti letak tujuan dan matlamat terbesar untuk memastikan kehendak rakyat," kata beliau.

Justeru, tegas beliau, ahli politik diminta tidak memainkan sentimen ugut-mengugut dan pemerintahan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan sebagainya.

Ujar beliau, ahli politik seharusnya tidak terus mendesak pembubaran Parlimen yang tidak menguntungkan rakyat buat masa sekarang.

Dzulkefly berkata, sudah tiba masanya semua parti politik memberi tumpuan kepada usaha menyelamatkan ekonomi negara berbanding sibuk memikirkan tentang pembubaran Parlimen

Tegasnya, PH terus bersedia dengan apa jua kekangan dihadapi termasuk menarik sokongan pengundi untuk menghadapi PRU15.

"Rakyat semakin jelas apa diperjuangkan PH berbanding pihak lawan dan kami akan terus mengangkat serta membela semula negara, membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.

"Saya yakin rakyat semakin celik dalam isu dihadapi negara pada masa ini yang perlu diselesaikan dengan cara baik," kata beliau.