SIK - Pas bersedia menilai cadangan meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita setiap negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, secara asasnya Pas bersetuju supaya peranan muslimat diangkat selari dengan cabaran dihadapi golongan itu pada masa kini sekali gus memberi peluang lebih ramai wanita bertanding pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, Pas menyanjung tinggi sumbangan yang diberikan muslimat selama ini dalam konteks pilihan raya dan kekuatan parti.
"Kita juga menyedari bahawa separuh daripada pengundi kita adalah dalam kalangan muslimat, sehubungan itu saya menyokong apa yang disebut Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh untuk meletakkan lebih ramai calon wanita dalam PRU ke-15," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas ke-62 di Dewan Al-Hana di sini, pada Jumaat.
Dalam masa sama, jelasnya, pemerkasaan wanita turut diberi perhatian menerusi gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) yang diterjemah dalam bentuk ketokohan wanita.
"Ini kerana isu membabitkan wanita ini banyak dan perlu ditanggani oleh golongan itu, contohnya wanita yang hilang punca ekonomi rumah tangga setelah kematian suami.
"Saya lihat ruang kosong ini perlu ditangani melalui satu mekanisme sama ada tabungan atau bantuan segera melalui agensi kerajaan dan sebagainya.
"Insya-ALLAH. Saya sudah maklum kepada pengarah pilihan raya untuk kita lihat kerusi yang boleh diberi kepada muslimat untuk diangkat dalam PRU kali ini,"katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, cadangan meletakkan calon akan dinilai oleh jawatan kuasa pilihan raya dan perbincangan diadakan di peringkat negeri sebelum diangkat dan diputuskan.
Terdahulu, Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas mengusulkan beberapa cadangan termasuk meletakkan calon wanita PRU ke-15 di setiap negeri sekurang-kurangnya 30 peratus.
Antara usul lain termasuk memberi tambahan cuti kepada kakitangan awam wanita yang kematian suami dan pindaan kepada Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok GSA 1960) Akta 530 untuk penambahbaikan proses pentadbiran harta pusaka.