KUALA LUMPUR - Dua premis yang dikesan menjadi lubuk 'rezeki' warga asing menjalankan aktiviti pelacuran terbongkar dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) yang dijalankan di Sri Petaling malam tadi.
Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Osman Ismail berkata, seramai 16 wanita warga asing dari Thailand, Indonesia dan Vietnam ditahan dalam pemeriksaan premis di Jalan Radin Bagus, di sini.
Menurutnya, premis beroperasi secara haram itu menyediakan 20 bilik untuk perkhidmatan seks dengan kadar bayaran antara RM160 hingga RM200.
"Wanita berusia antara 20-an hingga 30-an turut memberikan perkhidmatan keluar dari premis ke hotel-hotel berhampiran.
"Pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Osman berkata, operasi tersebut turut mengesan sebuah hostel pekerja warga asing dibina atas premis tersebut.
"Seramai 11 lelaki warga asing kebanyakannya warga Bangladesh yang bekerja sebagai kontraktor tapak binaan ditahan selepas tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
"Pekerja warga asing ini ditempatkan di dalam setiap bilik yang memuatkan antara empat hingga lima individu dengan kadar bayaran RM100 seorang,” katanya.
Dalam operasi sama, sebuah pusat rawatan kesihatan di sini turut dikesan menyalahgunakan lesen operasi dengan menjalankan kegiatan pelacuran.
"Seramai empat wanita warga Thailand ditahan di pusat rawatan kesihatan yang turut menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan yang boleh membuat tempahan menggunakan tempahan menerusi aplikasi WeChat," katanya.