Jurubahasa isyarat: Jemaah OKU mampu fahami khutbah Jumaat

Iklan
Muhammad Nidzam memberi khidmat jurubahasa isyarat bagi membolehkan golongan istimewa memahami isi kandungan khutbah Jumaat.

KUANTAN - Golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang sebelum ini tidak memahami isi kandungan khutbah Jumaat yang disampaikan secara lisan kini mampu memahaminya.

Ini hasil daripada inisiatif yang dilakukan Masjid Tepian Putra bagi membantu golongan istimewa dan menarik perhatian jemaah OKU pendengaran untuk hadir menunaikan solat Jumaat di sini.

Iklan
Iklan

Muhammad Nidzam Shariff Fudin, 38, yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Pendengaran Indera Mahkota Kuantan diberikan amanah untuk menjadi jurubahasa isyarat kepada golongan istimewa di masjid terbabit.

Menurutnya, setiap isi kandungan khutbah perlu ditafsir dan disampaikan kepada jemaah OKU terbabit dalam bentuk bahasa isyarat.

Iklan

"Saya bersyukur kerana dipilih untuk berbakti kepada OKU. Selepas pelaksanaannya, saya lihat jemaah OKU mula memahami isi kandungan khutbah yang disampaikan.

"Jadi, cara ini sebenarnya menggalakkan lebih ramai golongan istimewa untuk datang ke masjid dan mereka mendapat ilmu daripada setiap khutbah yang disampaikan," katanya ketika ditemui Masjid Tepian Putra di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berharap masjid lain dapat menyediakan khidmat jurubahasa isyarat supaya lebih ramai jemaah OKU pendengaran dapat hadir solat Jumaat.

Masjid Tepian Putra menyediakan satu ruangan khas untuk golongan OKU dan disediakan khidmat juru bahasa isyarat ketika khutbah Jumaat.

"Sebagai orang Islam, ini adalah fardu kifayah dan membantu sesama umat Islam lain ke arah kebaikan. Kita pun nak mereka yang OKU pendengaran ini faham apa yang khatib sampaikan, tidak akan kita sahaja yang nak masuk syurga," ujarnya yang memaklumkan inisiatif ini mendapat kerjasama daripada Persatuan Orang Pekak Pahang.

Sementara itu, jemaah OKU, Mohamad Firdaus Marsidi, 38, menzahirkan rasa bersyukur kerana dapat memahami secara jelas isi kandungan khutbah yang disampaikan oleh khatib melalui khidmat jurubahasa isyarat.

Katanya, jika tidak mereka sukar untuk memahami apa yang disampaikan kerana mempunyai masalah pendengaran.

"Kami golongan orang pekak ini ambil masa hendak membaca isi kandungan khutbah, jadi bila ada jurubahasa, ia membantu memberi kefahaman lebih baik dalam setiap tajuk khutbah Jumaat yang disampaikan.

"Sepatutnya khidmat sebegini perlu disediakan di semua masjid bagi membantu golongan istimewa seperti kami," jelas Mohd Firdaus.

Seorang lagi jemaah, Mohamad Azrul Anuar Mohammad Hoe, 25, berkata, kesungguhan dan usaha ditunjukkan pihak pengurusan Masjid Tepian Putra wajar dijadikan contoh.

Tambahnya, usaha itu membantu komuniti OKU untuk mengimarahkan masjid yang merupakan tempat merapatkan ukhuwah dalam masyarakat

"Sini (Masjid Tepian Putra) saya dapat jumpa rakan baharu dan berharap semua masjid di negeri ini boleh mengikuti usaha ini dalam usaha membantu golongan istimewa seperti saya," katanya.