Ismail Sabri tidak cerewet soal makan: Isteri

Iklan
Muhaini (tengah) menunjukkan ikan senangin sambal bunga kantan dan nasi minyak teh bunga ketika Program Memasak Citarasa Floria bersama Isteri Perdana Menteri sempena Floria DiRaja Putrajaya 2022 di Anjung Floria, pada Jumaat. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin menyifatkan suaminya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai seorang yang tidak cerewet dalam memilih makanan.

"Saya memang dah biasa dengan kesibukan dia dan bila dia balik apa yang ada dia makan saja. Dia memang tak banyak kerenah," katanya kepada media selepas menyertai Program Memasak Citarasa Floria sempena penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2022, di sini, pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Pada program berkenaan, Muhaini bersama isteri Menteri Wilayah Persekutuan Datin Seri Shamsiah M Yassin membuat demonstrasi masakan Nasi Minyak Teh Bunga dan Ikan Senangin Sambal Bunga Kantan.

Menurut Muhaini antara petua menjadikan masakan lebih enak ialah menggunakan air tangan sendiri dan memasak dengan ikhlas.

Iklan

"Pertama, petua air tangan memang tak boleh dinafikan. Kedua, kena buat sesuatu dengan kasih sayang. Kalau kita masak atau apa benda semua, (buat dengan) ikhlas dan dengan kasih sayang, insya-Allah," katanya.

Mengenai penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2022, Muhaini berkata, beliau teruja dapat merasai kemeriahan festival berkenaan serta melihat sendiri bagaimana acara itu menghimpunkan Keluarga Malaysia dari seluruh negara.

Iklan

"Di sini kita nampak Keluarga Malaysia bersatu-padu dan menikmati keindahan dan keamanan Malaysia.

"Keluarga Malaysia maknanya satu keluarga yang berhimpun untuk hidup dalam berkasih sayang dan mencintai antara satu sama lain, barulah kita boleh aman atas dunia ini," katanya.

Festival edisi ke-12 bertemakan Floria Hebat dan orkid sebagai bunga tema itu, membuka tirai kepada pengunjung sejak Isnin lepas (29 Ogos) hingga 4 September ini.

Kira-kira 10,000 pokok orkid dan 400,000 tanaman pelbagai spesies ditampilkan pada festival tersebut. - Bernama