SHAH ALAM - Bapa kepada seorang kanak-kanak beruniform bomba yang tular selepas tidak sengaja menunjukkan isyarat jari tengah ketika perarakan lintasan kontinjen sempena Hari Kebangsaan ke-65 pada Rabu lalu memohon maaf atas kejadian tersebut.
Menerusi hantaran di Facebook, lelaki tersebut mengatakan bahawa tindakan sebenar anaknya adalah mahu membuat ‘mini love’, namun sebaliknya tersilap dengan mengeluarkan jari tengah kepada orang ramai yang menonton perarakan tersebut.
"Dia sebagai peminat bomba memang excited sangat dapat terlibat dalam perbarisan kemerdekaan walaupun bangun pada pukul 5 pagi. Dari semalam excited sangat dapat pakai baju bomba.
"Saya memohon 10 jari agar video itu dapat diturunkan agar tidak lagi dikecam dan menjadi asbab masalah psikologi kepada anak saya.
"Mungkin dengan jasa baik sebesar ini ALLAH memuliakan serta menambah rezeki yang nampak dan tidak nampak di mata. Amin ya Rabb,” katanya dalam satu hantaran pada Khamis.
Menerusi video yang tular di Facebook baru-baru ini, kanak-kanak tersebut telah menyertai perarakan tersebut bersama anggota Unit Beruniform Bomba bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Dia yang pada mulanya berusaha menunjukkan jari ‘mini love’ kepada orang ramai menjadi sebaliknya apabila tersilap mengeluarkan jari tengah sebelum segera dibetulkan oleh pegawai yang juga turut sama menyertai perarakan tersebut.