Lazada sasar pasaran Eropah

Iklan

LAZADA merancang untuk menembusi pasaran Eropah dan bertapak di luar pasaran Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, James Dong berkata, platform e-dagang itu komited untuk berbuat demikian bagi memenuhi permintaan perniagaan e-dagang pada masa depan di seluruh dunia.

Iklan
Iklan

"Kami tidak mempunyai pelan pengembangan yang amat utuh untuk dikongsi di luar rantau ini (Asia Tenggara). Bagaimanapun, Eropah adalah pasaran yang menarik.

"Banyak jenama di sana mempunyai kerjasama yang amat baik dengan Alibaba Group dan Lazada Group, kami bekerjasama dengan mereka di China, di sini dan seluruh dunia, dalam banyak pasaran yang berbeza,” katanya kepada pemberita dalam satu temu bual.

Iklan

Beliau berkata, tumpuan kini ialah menjadikan kedudukannya lebih kukuh dalam pasaran SEA berikutan kadar penembusan dalam talian e-dagang di Malaysia masih rendah pada sekitar 10 peratus berbanding Amerika Syarikat (melebihi 20 peratus) dan China (30 peratus).

"Oleh itu, perjalanan masih lagi jauh, terutamanya di Malaysia. (Ia) antara negara yang mempunyai kuasa penggunaan yang tinggi dan populasi yang amat tertumpu di Lembah Klang.

Iklan

"Biasanya dalam pasaran seperti ini, kadar penembusan akan lebih tinggi daripada pasaran Asia Tenggara yang lain dalam perancangan jangka panjang kami.

"Kami masih amat komited dan kami amat yakin mengenai pertumbuhan kami di rantau ini dan terutamanya di Malaysia,” katanya.

Lazada telah melabur dalam perniagaan seperti penyedia dompet digital Indonesia, DANA, apabila ia melabur sejumlah RM1.36 bilion, dan menerajui pembiayaan RM750 juta dalam TNG Digital Sdn Bhd. - Bernama