Asyraf Wajdi perjelas isu dividen Petronas

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Jumaat menjawab persoalan dilontarkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim mengapa beliau tidak bersuara apabila Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan dividen tambahan RM25 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2022.

Jelasnya, tambahan dividen Petronas itu adalah jauh berbeza berbanding penerimaan dividen khas RM30 bilion pada zaman Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

"Pertama, keuntungan bersih pada 2019 hanyalah RM40.5 bilion. Apabila kerajaan PH mengambil RM24 bilion ditambah RM30 bilion pada tahun tersebut daripada Petronas, ia menyebabkan syarikat negara itu mengalami defisit.

"Berbeza pada tahun ini yang mana keuntungan bersih Petronas dijangka mencecah RM80 bilion. Jadi, kalau Petronas bayar RM50 bilion dividen sekalipun termasuk RM25 bilion dividen awal yang sudah diumum, akaun Petronas masih lagi surplus RM30 bilion," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Iklan

Adam Adli sebelum ini dilapor mempersoalkan sama ada Asyraf Wajdi akan mengkritik kerajaan kerana menerima dividen khas sebanyak RM25 bilion daripada Petronas.

Katanya, ini kerana Ketua Pemuda UMNO itu sebelum ini dilihat paling lantang melontarkan kritikan berkaitan dividen tambahan RM30 bilion yang diterima kerajaan PH pada 2019.

Iklan

Menurut Asyraf Wajdi, tindakan kerajaan PH yang mengambil wang rizab Petronas sehingga kedudukan kewangannya mengalami defisit itu yang disanggahnya.

"Mungkin adinda saya ini tidak sedar, ia adalah punca mengapa agensi penarafan menurun taraf Petronas pada tahun tersebut disebabkan tindakan ini.

"Kedua, tindakan PH itu sebenarnya berpunca daripada silap mereka sendiri. Sekiranya PH tidak mengambil langkah populis menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) secara mengejut tanpa sebarang penggantian cukai lain secara semerta, sudah tentu tidak timbul isu kekangan kewangan kerajaan pada ketika itu," katanya.

Ujarnya, ia berbeza pada hari ini apabila keperluan kerajaan adalah untuk mengawal inflasi.

"Masalah inflasi ini adalah masalah seluruh dunia disebabkan gangguan bekalan. Cara paling berkesan adalah dengan menyalurkan subsidi yang disasarkan kepada barangan asas dan utama," jelasnya.