TERENGGANU Football Club Sdn Bhd menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan kegiatan 'ulat tiket' yang menjual tiket perlawanan akhir Piala FA palsu dalam laman sosial.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh berkata, semua tiket perlawanan akhir Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) telah dijual secara dalam talian bagi mengelak aktiviti ulat tiket yang menjadikan penyokong setia bola sepak sebagai mangsa.
"Saya nak tegaskan bahawa kesemua 36,000 keping tiket yang diperuntukkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk penyokong Terengganu dijual secara dalam talian. Tiada yang dijual secara fizikal untuk elakkan masalah sebegini (ulat tiket).
"Saya harap orang ramai tidak terpedaya dengan tawaran haram ulat tiket di laman sosial atau di mana-mana sahaja yang mendakwa mereka mempunyai tiket fizikal," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan perkara itu selepas ditanya mengenai aktiviti ulat tiket yang mendakwa mereka menyimpan tiket fizikal dan terbuka untuk dijual di laman sosial.
Situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penyokong bola sepak terhadap ketelusan pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd berkaitan kaedah dan agihan jualan tiket.
Difahamkan, tiket palsu itu dijual pada harga sangat tinggi iaitu sehingga RM300 sekeping berbanding harga asal RM50.
Menurut Ab Rasid, 36,000 tiket perlawanan akhir itu juga habis dijual dalam tempoh empat hari dengan beberapa kategori harga yang berbeza.
"Kita sudah jangka akan menerima sambutan hangat seperti ini apabila TFC akhirnya layak ke pentas akhir selepas 11 tahun.
"Sememangnya akan ada penyokong yang tidak berpuas hati kerana gagal mendapatkan tiket. Tetapi saya harap mereka dapat terus beri sokongan kepada pasukan negeri yang kita cintai," katanya. - Bernama