LAHAD DATU – Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di atas meja gerai menjual makanan di Batu 5, Kampung Jaya Baru, Jalan Tengah Nipah, di sini pada awal pagi Jumaat.
Bayi seberat 2.9 kilogram itu ditemui tanpa sebarang pakaian kira-kira jam 7 pagi oleh seorang lelaki yang juga pemilik gerai berkenaan ketika mahu memulakan perniagaannya.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dikerah ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
"Bayi itu kemudian dibawa ke hospital oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana penjaga tidak bertanggungjawab dengan niat hendak membuang bayi itu.
"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi terus pihak polis di talian 089-881255 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Marlisa Maedika di talian 016-219 4554," katanya.