PASIR GUDANG - Seorang pengusaha kedai barangan elektrik trauma dan hidup dalam ketakutan selepas ah long tersilap menyimbah cat merah di rumahnya di Bandar Seri Alam di sini.
Yeo Queck Hui, 66, mendakwa tidak pernah meminjam dengan ceti haram itu dan berasakan dirinya teraniaya, terpaksa menanggung malu selain mengalami kerugian RM3,000 akibat kejadian berkenaan.
Dia berkata, kejadian pertama berlaku pada 13 Ogos lalu apabila halaman rumah, kereta Toyota Camry dan Proton Bezza milik keluarganya disimbah cat merah. Kejadian sama berulang lagi pada 30 Ogos lalu.
"Kali ini halaman rumah dan bonet kereta Camry memiliki kesan dibakar. Halaman rumah disimbah petrol dan terdapat kesan kebakaran. Kedua-dua kejadian ini dipercayai berlaku pada awal pagi.
"Saya dan jiran hanya menyedarinya selepas bangun daripada tidur. Ah long meninggalkan nota yang ditampal di pagar mencatatkan Ong Chee Wei beralamat 38, Jalan Gunung 22, Bandar Seri Alam, segera WhatsApp saya.
"Saya tidak mengenali siapa itu Ong Chee Wei dan alamat rumah juga adalah berbeza kecuali nombor rumah adalah sama," katanya ditemui pemberita selepas mengadu masalah itu di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Taman Johor Jaya di sini pada Jumaat.
Dia berkata, lokasi alamat dinyatakan itu sejauh satu kilometer dari rumahnya selain terkilan apabila kejadian tersebut berlaku dua kali.
Warga emas itu kini khuatir dengan keselamatan ahli keluarga termasuk isterinya yang berusia 60-dan dan anak lelaki berusia 29 tahun.
Queck Hui melaporkan kedua-dua kejadian itu di Balai Polis Seri Alam pada 18 dan 30 Ogos lalu selain menghantar WhatsApp kepada ah long terbabit meminta menghentikan perbuatan tersebut dan menjelaskan mereka tersilap rumah.
"Bagaimanapun mereka mendakwa kami cuba menipu dan melindungi individu yang diburu. Apa yang lebih dibimbangi, mereka ugut akan terus mengancam bagi menuntut hutang sejumlah RM4,000.
"Kami sudah menghuni di kediaman ini selama 24 tahun dan ini adalah kali pertama dilanda masalah ini dan diharap pihak polis dapat memberkas mereka yang tidak bertanggungjawab serta diambil tindakan sesuai," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan pengadu membuat laporan polis pada 13 dan 30 Ogos lalu.
"Polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 427KK (khianat) dan seksyen 435KK (khianat dengan api)," katanya ketika dihubungi.