65 perpustakaan dinaik taraf, bawa konsep lebih segar

Iklan
Amirudin menandatangani Plak Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Sultan Abdul Samad di Kuala Langat pada Jumaat.

KUALA LANGAT - Sebanyak 65 buah perpustakaan di bawah selian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dinaik taraf dan dijenamakan semula sejak tahun 2016 dengan konsep yang lebih segar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia merupakan sebahagian daripada 104 perpustakaan di negeri tersebut meliputi perpustakaan daerah, desa dan pekan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia adalah satu contoh usaha kerajaan Selangor untuk membudayakan ilmu di kalangan masyarakat.

"Kerajaan Selangor bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur yang terbaik kepada rakyat negeri Selangor, pembangunan modal insan juga ditekankan untuk melahirkan rakyat yang seimbang sahsiah serta kuat dari segi segenal sudut.

Iklan

"Dasar 'no one left behind' merupakan iltizam jitu kerajaan negeri bagi memastikan setiap kelompok masyarakat tidak dikesampingkan, ini termasuk orang kurang upaya (OKU) dan anak istimewa Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Perjenaman Semula Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Banting, di sini pada Jumaat.

Iklan

Perpustakaan Sultan Abdul Samad yang dibina pada tahun 1973 mulai diubah suai sejak tiga tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta.

Amirudin berkata, perpustakaan tersebut turut memasukkan elemen seperti pengenalan awal kepada industri 4.0 dengan unsur robotik, cetakan tiga dimensi, pengkodan dan penggunaan dron.

Ujarnya, ia turut dilengkapi dengan ruang permainan untuk kanak-kanak, gelongsor dalaman (indoor slide), selain daripada bilik-bilik seminar untuk kegunaan awam.

"Sebelum ini perpustakaan hanya tempat untuk orang yang suka membaca buku, tapi kini ia lebih kepada ruang keluarga.

"Saya yakin elemen baharu ini akan mengundang lebih ramai kehadiran orang awam ke perpustakaan ini," katanya.

Turut hadir, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad.