KEPUTUSAN meneruskan permainan biarpun dibelenggu kecederaan semasa perlawanan pusingan kedua Terbuka Jepun pada Khamis, adalah keputusan sendiri bukan jurulatih.
Itu tegas pemain beregu wanita negara, Pearly Tan yang tidak mahu komuniti badminton tanah air menyalahkan barisan kejurulatihan yang telah menasihatkan bintang muda berusia 22 tahun tersebut supaya menarik diri lebih awal.
"Pertama sekali, tindakan untuk meneruskan permainan adalah keputusan saya sendiri walaupun jurulatih mahu saya berhenti.
"Harap kedegilan saya tidak mendatangkan sebarang salah faham. Saya mahu memohon maaf dan berterima kasih kepada para jurulatih yang sentiasa memberi sokongan padu kepada saya.
"Terima kasih kepada M Thinaah yang berjuang habis-habisan. Saya tahu anda sudah melakukan yang terbaik untuk...Ia bukanlah keputusan yang semua mahukan tetapi saya pasti kita akan kembali bangkit selepas ini.
"Terima kasih semua atas ucapan, saya baik-baik dan akan pulang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan," tulis Pearly di Instastorynya.
Untuk rekod Pearly-Thinaah bermula baik ketika menentang beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Lim apabila menang set pertama 21-13.
Namun pada set kedua, pemenang pingat di Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tewas 19-21 sebelum Pearly mula dihantui kecederaan.
Kecederaan itu tidak mematahkan semangat Pearly apabila dia mengambil keputusan meneruskan permainan sehinggalah beregu wanita nombor satu negara tersebut ketinggalan 11-16 di set ketiga yang menyaksikan Pearly tidak dapat menahan kesakitan sebelum menarik diri.